Kontraktor mengaku bersalah kemuka penyata bank palsu
ALOR SETAR - Seorang kontraktor mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menggunakan penyata bank palsu untuk mendapatkan kontrak kutipan sisa pepejal bernilai RM1.7 juta tiga tahun lalu.
Tertuduh, Ronie Maharudin, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan curangnya telah mengemukakan penyata bank atas nama sebuah syarikat yang dipalsukan untuk memohon kontrak itu bagi Oktober, November dan Disember 2018.
Ronie melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di Bandar Baru Stargate, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini pada 22 Februari 2019.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 akta sama, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan tarikh 19 Februari depan untuk menjatuhkan hukuman itu atas permintaan pihak pendakwaan untuk mengemukakan fakta penuh kes kepada mahkamah.
Sebelum itu, Pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fauzee Azizan dalam hujahnya menggesa mahkamah mengenakan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh selaras dengan nilai kontrak terbabit.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Farid Wajdi Hanif yang mewakili tertuduh merayu mahkamah mengenakan jumlah jaminan lebih rendah kerana tertuduh tidak memiliki pendapatan stabil selepas kehilangan pendapatan sebagai kontraktor dan hidup bergantung dengan wang simpanan sahaja.
Muhammad Farid memberitahu, tertuduh kini terpaksa bergantung kepada isteri untuk menyara tiga anak mereka yang masih belajar, malah juga perlu menyara kedua-dua ibu bapanya yang uzur.
“Tertuduh juga telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang proses siasatan dan tidak pernah gagal melaporkan diri di pejabat SPRM sepanjang tempoh itu,” katanya kepada mahkamah.
Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!