Gempa bumi Turkiye, Syria: Agong seru rakyat hulur bantuan

Al-Sultan Abdullah berkenaan menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Agama Rakyat, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain, Ubadiah Al-Jariah, Taman Guru pada Rabu.
Al-Sultan Abdullah berkenaan menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Agama Rakyat, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain, Ubadiah Al-Jariah, Taman Guru pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat Malaysia supaya menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Kerajaan Turkiye dan Syria berikutan tragedi gempa bumi kuat melanda negara berkenaan.

Baginda bertitah, bantuan kemanusiaan perlu disalurkan sekiranya kedua-dua negara terbabit memerlukan bantuan.

"Kalau perlukan bantuan, kita hulurkan bantuan dan harus beri bantuan," titah baginda ketika berkenan menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Agama Rakyat, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain, Ubadiah Al-Jariah, Taman Guru pada Rabu.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras pada awal pagi Isnin, dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan itu berpusat di daerah Pazarcik.

Menurut laporan Reuters, sebanyak 5,894 kematian direkodkan di Turkiye, manakala di Syria lebih 1,900 kematian dilaporkan setakat ini.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa simpati dengan kejadian dan menyeru kepada semua rakyat negara ini dapat sama-sama mendoakan keselamatan rakyat negara itu.

"Agak sesuatu yang malang bagi rakyat di sana dan saya harap kita sama-sama berdoa, sembahyang hajat agar Allah dapat memberikan sedikit rahmah kepada mereka yang kehilangan nyawa.

"Kita di sini hanya hadapi banjir tahun demi tahun, namun kita harus bersabar dan kita amat sedih (dengan) kejadian di Turkiye dan Syria itu," titah baginda lagi.

Mengulas lanjut mengenai banjir di Pahang, Al-Sultan Abdullah berharap agar semua penduduk terjejas banjir di negeri ini dapat pulang ke rumah masing-masing dalam masa terdekat.

Baginda bertitah, keadaan cuaca baik sejak Selasa diharap berterusan dan keadaan banjir dapat pulih sepenuhnya.

"Saya harap cuaca akan bertambah baik mudah-mudahan, saya harap semua (penduduk) yang terpaksa pindah boleh pulang ke rumah semua," titah baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!