Gempa bumi: Syria Care, Sinar Karangkraf sasar RM500,000
SHAH ALAM- Pertubuhan Syria Care dengan kerjasama Sinar Karangkraf menyasarkan kutipan derma sebanyak RM500,000 bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Ketua pegawai eksekutifnya, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, kutipan tersebut akan digunakan bagi menyalurkan bantuan segera yang terdiri daripada barangan keperluan asas seperti makanan dan alatan pemanas badan sempena musim sejuk.
Jelas beliau, setakat petang Selasa, pihaknya telah berjaya mengutip sebanyak RM17,000 daripada orang ramai.
“Bantuan ini kita akan fokuskan ke Syria terlebih dahulu memandangkan keadaan di sana jauh lebih kritikal. Setakat yang saya tahu, banyak bantuan sedang terarah ke Turkiye berbanding Syria sedangkan keadaan di negara itu (Syria) jauh lebih teruk.
“Di Syria, fasiliti bagi usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi adalah dalam keadaan serba kekurangan. Jadi, dengan kutipan derma ini, ia juga akan digunakan bagi penyediaan jentera lebih baik bagi operasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Pada Isnin, seluruh dunia digemparkan dengan kejadian gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 yang menggegarkan tengah Turkiye dan barat laut Syria, mengakibatkan lebih ribuan orang terbunuh dan ramai yang cedera.
Gempa yang melanda ketika awal pagi itu ketika musim sejuk turut boleh dirasai di Cyprus dan Lubnan.
Sementara itu, Siti Sakinah menambah, Syria Care juga dalam rangka mengusahakan tempat tinggal lebih baik bagi mangsa pelarian di negara tersebut.
“Kalau dilihat sekarang, keadaan kem pelarian mereka masih serba kekurangan, terdapat keluarga yang hanya tinggal dalam khemah. Jadi menerusi bantuan ini, ia akan menjadi titik mula bagi kami untuk membina kediaman yang kondusif bagi mereka,” jelas beliau.
Untuk sebarang pertanyaan atau sumbangan, orang ramai boleh menghubungi Syria Care di talian 03-55234077 atau 011-28809820 serta boleh layari laman sesawang www.syriacare.org.my dan saluran media sosial Syria Care Malaysia di Facebook, Instagram dan Twitter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!