Dr Masliha umum tanding jawatan Ketua Puteri UMNO
SHAH ALAM - Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO pada pemilihan parti itu kali ini.
Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai itu menjadikan REVU yang bermaksud peremajaan (rejuvenation), pemerkasaan (empowerment), suara (voice) dan perpaduan (unity) sebagai visinya terhadap Puteri UMNO sekiranya terpilih sebagai ketua sayap yang baharu.
"REVU berupaya membawa inspirasi dan kekuatan kepada Puteri UMNO dan parti itu sendiri. Politik sekarang ini dinamik.
"Dulu politik khidmat bakti sekarang politik baharu. Kita perlu rejuvenasi Puteri UMNO dengan menarik penyertaan anak muda kepada parti itu secara lebih agresif.
“Saya mahu tambahkan keahlian Puteri UMNO dengan melibatkan semua kumpulan iaitu mahasiswa, profesional dan golongan wanita muda berumur 18 tahun," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pemilihan UMNO 2023 diadakan bermula pada 1 Februari lalu hingga 18 Mac ini, manakala Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan diadakan pada 1 hingga 26 Februari ini.
Sementara mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.
Masliha juga berkata, bukan sekadar memperkasakan Puteri UMNO malah berani membawa suara anak muda menerusi imej lebih yakin dengan memperjuangkan ekonomi, pendidikan dan kepimpinan kumpulan tersebut.
"Saya juga mahu Puteri UMNO menjadi suara rujukan anak muda dengan menjadikan sayap itu sebagai ‘one stop center’ bagi golongan wanita muda dalam menyuarakan masalah dan pandangan.
"Banyak isu yang boleh diperjuangkan oleh Puteri UMNO seperti ibu tunggal yang terbiar dan tidak mempunyai pendapatan, pencabulan serta penderaan kanak-kanak," ujarnya.
Dalam pada itu, Masliha mahu mewujudkan 'perpaduan' dalam parti bagi memastikan UMNO bangkit semula selain tidak boleh dilihat berpecah dan berpuak.
“Jadi saya mahu menyatukan hati setiap ahli supaya mencintai parti dan mereka perlu hormat organisasi. Kita tidak perlu taksub pemimpin tetapi taksub kepada parti dan apsirasi yang dibawa.
“Kalau setiap ahli tahu aspirasi dan agenda parti dengan jelas, mereka lebih fokus untuk bersama UMNO. Adalah penting untuk memupuk semangat jati diri dalam kalangan ahli,” tegasnya.
Masliha yang juga Pengerusi Bertindak Undi 18 Puteri UMNO berkata, beliau juga telah menyiapkan pelan induk bagi menarik kumpulan tersebut kepada parti itu.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan akibat beberapa kekangan maka pelan induk berkenaan tidak dapat dilaksanakan sebelum pilihan raya umum lalu.
"Namun jika diberi peluang oleh ahli untuk diangkat sebagai ketua sayap yang baharu saya akan memastikan pelan induk berkenaan dijayakan sepenuhnya," jelasnya.
Menurut Masliha, bukan mudah untuk mengetuai sayap parti dalam keadaan UMNO tewas namun ia adalah cabaran yang perlu dipikul untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.
“Pengalaman sebagai ahli Puteri sejak 2002 adalah perisai saya untuk memegang jawatan ini. Saya tahu kita perlu ukur baju di badan sendiri tetapi kita (Puteri UMNO) lahir di zaman sebagai pembangkang.
"Di kala kita tak jadi kerajaan dan kalah terduduk orang telah lari tinggalkan perjuangan, melompat parti lain. Saya masih kekal dan saya nampak ALLAH beri kita satu peluang baharu.
"Sekarang kita kalah lagi dan bukan nak dabik dada jadi kerajaan. Tetapi itu adalah peluang yang dibuka untuk memulihkan parti sedikit demi sedikit,” menurutnya.
Jelas Masliha, tempoh yang lama amat diperlukan untuk menarik semula kepercayaan rakyat kepada UMNO sekali gus memulihkan parti keramat orang Melayu itu.
"Namun saya yakin sekiranya kerajaan terus stabil dan harmoni, ekonomi meningkat maka UMNO boleh pulih seperti biasa.
"UMNO tetap kekal dengan agenda dan aspirasi memperjuangkan bangsa, agama dan negara yang akan sentiasa dihargai oleh rakyat," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!