Lagi nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

Bot dari Indonesia yang dirampas untuk siasatan lanjut.
Bot dari Indonesia yang dirampas untuk siasatan lanjut.
A
A
A

GEORGETOWN - Lima lagi nelayan Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang pada malam Selasa.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kesemua nelayan warga asing itu ditahan dalam Op Tanjung dan Op Pertiwi pada kedudukan 37.6 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada jam 9.10 malam.

Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun.

"Hasil pemeriksaan, kelima-lima mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri selain gagal mempamerkan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

"Mereka disyaki telah melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Lima nelayan Indonesia yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ditahan.
Lima nelayan Indonesia yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ditahan.

Kata beliau, bot, bersama lima nelayan asing itu serta hasil laut anggaran 20 kilogram dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk siasatan lanjut.

"Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.

"Sekiranya orang awam mempunyai aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, mereka boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!