Pemandu, 5 penumpang maut van terbabas di Genting Highlands
KUANTAN - Pemandu bersama lima penumpang sebuah van maut selepas kenderaan dinaiki terbabas di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands pada Rabu.
Kemalangan dipercayai berlaku ketika van yang dinaiki 15 penumpang termasuk pemandu dalam perjalanan turun dari kawasan peranginan tanah tinggi itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa yang maut terdiri seorang lelaki (pemandu) dan lima penumpang wanita warga tempatan.
Menurutnya, pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 1.15 petang.
"Lima anggota termasuk dua pegawai bersama sebuah jentera ke lokasi untuk operasi bantuan menyelamat mangsa terlibat.
"Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat," katanya.
Ismail berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!