Bayi ditemui dalam beg depan pagar rumah kebajikan
KAJANG - Seorang bayi perempuan yang dipercayai baharu lahir ditinggalkan dalam beg di depan pagar sebuah rumah kebajikan di Taman Ferngrove Batu 9 Cheras, dekat sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian itu disedari kira-kira jam 6.45 pagi oleh seorang paderi yang menguruskan rumah kebajikan terbabit.
Menurutnya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati terdapat seorang wanita yang meletakkan beg di pagar rumah kebajikan terbabit pada jam 5.57 pagi sebelum beredar.
"Pemeriksaan terhadap bayi perempuan itu mendapati tali pusatnya telah dipotong.
"Bayi seberat kira-kira tiga kilogram itu dipercayai berusia satu hingga dua hari," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengesan wanita terbabit atau individu terlibat dalam kes itu.
Katanya, sehubungan itu orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diseru untuk tampil membantu dengan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 0169985730.
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!