Cubaan seludup 410,000 batang rokok gagal
KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 410,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai hampir RM250,000 di muara Kuala Besut kira-kira jam 3 pagi pada Selasa.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, kegiatan itu dikesan hasil risikan yang dijalankan selama beberapa hari menerusi operasi khas yang dijalankan agensi berkenaan.
"Hasil rondaan bot Maritim telah mengesan sebuah bot enjin sangkut yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan Besut.
"Sebaik menyedari kehadiran bot peronda Maritim, bot berkenaan memasuki kawasan cetek dan berjaya meloloskan diri," katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Rabu.
Mohd Khairulanuar memberitahu, dalam masa yang sama, pasukan peronda darat berjaya mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan yang membawa muatan rokok dipercayai diseludup.
"Hasil pemeriksaan lanjut disekitar kawasan tersebut menemukan beberapa bungkusan plastik biru berisi rokok yang ditinggalkan suspek sebelum melarikan diri.
"Kita percaya suspek menggunakan laluan laut untuk menyeludup rokok dari negara jiran dan membawa masuk melalui bot-bot kecil.
"Pihak Maritim juga percaya bot-bot kecil itu dikendalikan oleh warga tempatan kerana mengetahui selok belok kawasan berkenaan," katanya.
Jelas beliau, operasi khas itu dilakukan di sepanjang perairan Terengganu terutama lokasi yang menjadi tumpuan kegiatan penyeludupan.
"Maritim Terengganu menggiatkan operasi bagi membanteras kegiatan penyeludupan. Aktiviti ini dapat dihidup berikutan peningkatan rokok-rokok tidak bercukai pelbagai jenama di pasaran.
"Aktiviti ini sudah lama berlaku namun kebelakangan ini ia semakin bertambah berdasarkan peningkatan permintaan," katanya.
Ujar beliau, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Terengganu di talian 09-6224357 atau MERS 999 jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan lain-lain kegiatan jenayah di dalam zon Maritim Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!