Penempatan haram: Pemilik tanah perlu tanggungjawab
SEREMBAN - Pemilik tanah persendirian perlu bertanggungjawab dan mengambil perhatian atas apa yang berlaku di tanah masing-masing.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia bagi mengelakkan kejadian seperti kes serbuan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) terhadap penempatan haram di Nilai Spring baru-baru ini berulang.
"Kita sepatutnya bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di tanah dan aset milik kita, tidak boleh biarkan harta kita ataupun tanah kita digunakan.
"Saya yakin tanah tersebut (di Nilai Spring) sebelum ini hendak dibangunkan dan mereka tahu apa yang berlaku pada kawasan itu jadi saya berharap perkara ini tidak berulang lagi malah kerajaan negeri ambil serius perkara ini walaupun bidang kuasa terletak di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Pegawai Daerah Seremban Mohd Nizam Tajul Arus menjelaskan penempatan haram pendatang tanpa izin yang diserbu JIMNS di Nilai Spring, Nilai baru-baru ini dibina atas tanah milik persendirian dan tanah terbabit dipercayai diceroboh selain pemiliknya kemungkinan tidak menyedari perkara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!