China bantah tindakan AS tembak jatuh belon 'awam'
ANKARA - China mengemukakan bantahan selepas ‘belon’ ditembak jatuh oleh Amerika Syarikat (AS) dan menggesa Washington supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh memburukkan dan merumitkan lagi keadaan.
Menurut Agensi Anadolu pada Selasa, Kedutaan China di Washington menerusi Kuasa Usaha Xu Xueyuan mengeluarkan kenyataan bantahan itu kepada pegawai kanan Jabatan Negara AS dan Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih berhubung insiden itu.
Pada Sabtu, AS menembak jatuh belon 'pengintip' yang disyaki milik China yang telah dikesan berlegar di ruang udara di pantai Carolina Selatan.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara' AS John Kirby kemudian dilaporkan berkata: "Tiada niat untuk menghantar semula serpihan itu."
Sejak itu, China mendakwa Washington cuba 'merosakkan' kemajuan yang dicapai dalam hubungan dua hala.
"Xu berkata' keberadaan belon itu tidak disengajakan dan ia kejadian terpencil yang tidak dijangka disebabkan oleh force majeure," menurut kenyataan kedutaan yang disiarkan di laman sesawangnya.
Xu berkata' pihaknya sudah memaklumkan pihak berkuasa AS beberapa kali dan meminta mereka mengendalikannya dengan tenang, profesional dan terkawal.
"Pihak China menyatakan bantahan keras terhadap pihak AS yang menggunakan kekerasan...Kami menggesa pihak AS untuk tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh memburukkan dan merumitkan keadaan. Pihak China berhak untuk membuat tindak balas selanjutnya jika perlu," kata diplomat itu.
Pada Selasa, jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning berkata: "Belon itu bukan milik AS, ia milik China."
"Pihak AS sepatutnya menangani insiden itu dengan sewajarnya dan profesional, tetapi AS tegas untuk menggunakan kekerasan...,” kata Mao, lapor akhbar harian China Global Times.
Beliau berkata, belon itu bagi kegunaan awam dan kerajaan China bertindak 'tegas untuk melindungi hak sahnya'. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!