'Saya pemimpin kecil sahaja' - Saarani
IPOH - Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad tidak berhasrat untuk bertanding jawatan tertinggi parti di peringkat pusat pada pemilihan kali ini.
Menurutnya, tiada keperluan untuk bertanding di peringkat tertinggi parti sebaliknya hanya mahu menumpukan tugas di negeri Perak.
"Saya tak ada (hasrat bertanding jawatan tertinggi UMNO). Saya pemimpin kecil saja, main ikut negeri Perak cukuplah. Saya tak ada cita-cita besar itu.
"Seperti biasa, ahli-ahli ada hak bertanding dan sebagainya, tak ada masalah asalkan ikut perlembagaan UMNO dan peraturan persidangan, itu saja," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Sehingga kini terdapat dua pemimpin dari Perak yang disebut-sebut akan bertanding ke jawatan Naib Presiden UMNO iaitu Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Ketua UMNO Bahagian Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Mengulas mengenai UMNO Pasir Salak, Saarani menjelaskan ketua UMNO bahagian tersebut kini dipangku oleh Timbalan Ketuanya, Khairul Azwan Harun selepas penggantungan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Menurutnya, Tajuddin tidak boleh lagi bertanding pada pemilihan kali ini susulan hukuman penggantungan yang dikenakan ke atas pemimpin tersebut.
Katanya, sebagai pemangku ketua bahagian, Khairul Azwan boleh menjalankan tugas sehingga mesyuarat perwakilan bahagian membuat pemilihan ketua bahagian yang sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!