6 individu termasuk pegawai polis didakwa membunuh
TAWAU - Lima pegawai dan anggota polis serta seorang orang awam dituduh membunuh pemandu e-hailing di Mahkamah Majistret Tawau pada Rabu.
Tertuduh Rosdi Rastam, 44; Dennis Anak Enit, 44; Fabian Anak Rungam, 43; Khairul Azman Bakar, 47; Mohd Azlan Sakaran, 39, dan seorang orang awam Vivien Fabian, 34, didakwa membunuh Nurman Bakaratu, 61, pada 13 Januari lalu.
Menurut pertuduhan, semua tertuduh didakwa melakukan perkara itu antara jam 7.30 malam hingga 11.30 malam di ladang kelapa sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5 di sini.
Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, memperuntukkan hukuman mati.
Sebelum itu, seorang pegawai kanan polis, Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, didakwa di mahkamah yang sama atas pertuduhan bersubahat dengan enam tertuduh untuk membunuh mangsa pada hari, masa dan lokasi yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 302 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Dzul Elmi Yunus.
Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad bersama Khairul Azreem Mamat, Muhammad Ilmami Ahmad, Rohaiza Abdul Rahman dan Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim.
Rosdi diwakili peguamnya, Timothy Daud dan Kamarudin Mohmad Chinki, manakala Khairul Azman diwakili tiga peguam Chen Wen Jye, Ram Singh, Kimberly Ye.
Mahkamah menetapkan 11 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan semua tertuduh tidak ditawarkan ikat jamin.
Sementara itu, tiga lagi individu yang dibawa ke mahkamah membabitkan kes sama dipohon bon jaminan untuk hadir sebagai saksi pendakwaan iaitu orang awam, Shim Vui Nyen dan dua anggota polis, Usman Lanaga dan John Kennedy Sanggah.
Dzul Elmy turut menetapkan jaminan masing-masing RM20,000 untuk dua saksi polis manakala RM10,000 bagi saksi awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!