Perak akan salur bantuan ke Turkiye, Syria

Saarani. - Foto: Bernama
Saarani. - Foto: Bernama
A
A
A

IPOH - Simpati dengan bencana gempa bumi di Turkiye dan Syria, kerajaan Perak sedia menyalurkan bantuan ke negara berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimana pun bentuk bantuan dan sumbangan belum diputuskan.

"Kita akan bincang untuk lihat apa keperluan sebenarnya. Bantuan itu biasalah, baik negara dan negeri, kita ada sumbangan yang kita akan buat tapi kita tak umum lagilah.

"Kita akan dapatkan maklumat daripada Kementerian Luar dahulu supaya bantuan atau sumbangan ini sampai dan menepati sasaran yang mereka perlukan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Pejabat Menteri Besar Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.

Terdahulu, kerajaan Malaysia mengumumkan penyaluran lebih AS$2 juta kepada Turkiye dan Syria susulan gempa bumi kuat yang berlaku di negara tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah tersebut termasuklah sumbangan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebanyak AS$1 juta dan kerajaan Malaysia AS$1 juta.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Saarani mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi program Bantuan Sara Diri Mahasiswa dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa khusus untuk anak Perak yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) yang diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam negara.

Menurutnya, selain itu juga program Bantuan Makanan Pelajar di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM2.8 juta.

Jelasnya, program tersebut bakal memberi manfaat kepada 28,281 pelajar dari 256 buah sekolah seluruh negeri Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!