Padah biar semak samun, dua lelaki didenda

No Image Caption
A
A
A

KUALA LANGAT - Padah membiarkan semak samun di kawasan kediaman, dua lelaki didenda RM700 hingga RM800 seorang, oleh Mahkamah Majistret Telok Datok di sini pada Khamis.

Mereka yang masing-masing berusia 50-an didenda kerana melakukan kesalahan itu di Taman Banting Baru dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 74 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Sekiranya gagal membayar denda, mereka boleh dipenjara selama sebulan.

Selain itu, seorang pemilik restoran berusia 60-an didenda RM500 atau sebulan penjara kerana gagal melunaskan 10 tunggakan kompaun dan mengingkari notis Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Dia selaku orang kena saman (OKS), didakwa bawah Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa MPKL, Hasrizal Abd Rahim dan Norazizi Natimin.

Sementara itu, menerusi kenyataan media, MPKL mengingatkan semua pihak supaya memastikan kediaman dalam keadaan yang bersih dan teratur selain tidak menimbulkan kacau ganggu kepada jiran serta penduduk setempat.

MPKL juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!