Majikan dikompaun gagal daftar perusahaan, carum pekerja

Suhara (empat dari kiri) bersama kakitangannya yang terlibat dalam Ops Kesan.
Suhara (empat dari kiri) bersama kakitangannya yang terlibat dalam Ops Kesan.
A
A
A
BATU PAHAT – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Batu Pahat akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan di daerah ini yang gagal mendaftar dan mencarum pekerja masing-masing melalui Ops Kesan bermula 1 April lalu.

Pengurusnya, Suhara Mustaffa berkata, sebelum ini pihaknya telah menggesa majikan yang belum mendaftar perusahaan dan mencarum pekerja mereka supaya berbuat demikian sepanjang tempoh pemutihan yang bermula dari 1 hingga 31 Mac lalu.

“Sejak 1 April sehingga ke hari ini (semalam), operasi yang melibatkan 26 anggota ini telah melawat ke 217 premis perniagaan di sekitar bandar Batu Pahat, Yong Peng, Parit Sulong, Parit Yaani, Parit Raja dan Ayer Hitam.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 majikan telah dikompaun atas kesalahan gagal mendaftarkan perusahaan mereka manakala 14 majikan pula dikenakan kompaun kerana gagal mendaftar pekerja,” katanya kepada pemberita letika Ops Kesan Perkeso Batu Pahat di sekitar bandar Batu Pahat, semalam.

Menurutnya, bagi kegagalan mendaftar perusahaan, Perkeso telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM14,000 manakala nilai kompaun kerana gagal mendaftar pekerja pula sebanyak RM80,000.

“Sepanjang Ops Kesan ini juga, kami dapati terdapat 20 majikan yang layak berdaftar tetapi masih belum berdaftar kerana perusahaan baharu ditubuhkan atau pekerja baharu diambil bekerja.

“Majikan-majikan seperti ini hanya dikeluarkan surat arahan dan lawatan susulan akan dilakukan dalam tempoh 14 hari dan notis yang dikeluarkan kepada majikan ini mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insuran Pekerjaan 2017,” katanya.

Katanya, kebanyakan majikan yang dikenakan tindakan adalah majikan-majikan dari sektor peruncitan seperti penjual kain baju, syarikat perkakasan dan pertukangan, kedai makan dan sebagainya.

“Majikan-majikan ini juga kerap memberi alasan tidak tahu dan merasakan tiada keperluan untuk mencarum pekerja-pekerja mereka dan kami tidak akan menerima sebarang alasan kerana sebelum ini kita telah memberikan mereka tempoh yang cukup untuk mendaftar,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Pada masa sama, ada sesetengah pekerja yang tidak memberikan kerjasama dengan tidak memberi maklumat yang betul tarikh mereka diambil bekerja tanpa menyedari ia membawa kerugian sekiranya sesuatu perkara yang buruk menimpa mereka.

Katanya, Ops Kesan ini akan terus dijalankan sehingga akhir tahun secara berkala dan beliau berharap majikan sedar kewajipan mereka dalam memastikan pekerja-pekerja mereka mendapat caruman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!