Nahas van persiaran di Genting Highlands ragut tujuh nyawa

Keadaan van persiaran yang terbabas melanggar penghadang jalan konkrit di KM4.8 Jalan Genting Highlands pada Rabu.
Keadaan van persiaran yang terbabas melanggar penghadang jalan konkrit di KM4.8 Jalan Genting Highlands pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Nahas melibatkan sebuah van persiaran di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands pada Rabu mengorbankan tujuh penumpang termasuk pemandu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam nahas kira-kira jam 1.15 tengah hari itu, pemandu van, Wong Choun Chiet, 49, dan lima penumpang wanita, Foong Ah Lan, 67, Lee Moy, 67, Goh Siew Kim, 61, Ang Meng Hong, 62, dan Seow Mee Tin, 72, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands sebelum dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.
Mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands sebelum dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, seorang lagi penumpang, Chang Them Kong, 70, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Lima mangsa yang cedera menerima rawatan di HKL dan dua di Hospital Bentong," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ramli berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika van dinaiki 14 penumpang termasuk pemandu dalam perjalanan turun dari Genting Highlands untuk pulang ke Pulau Pinang.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam van.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam van.

"Ketika tiba di lokasi kejadian (laluan berselekoh), van persiaran tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar konkrit pembahagi jalan di sebelah kanan.

"Akibat kejadian mangsa mengalami kecederaan parah dan enam disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!