'SPRM perlu siasat semua parti'

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan membayangkan wujud dakwaan terpilih berhubung pembekuan akaun parti itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mempersoalkan, sekiranya siasatan itu adil, mengapa parti-parti lain yang mempunyai rekod 'kurang bersih' tidak disiasat.

“Jika kita mahu melihat politik wang dihapuskan dan itulah matlamat kita, semua parti perlu disiasat dengan adil.

“Jadi apa yang berlaku sekarang seolah-olah ada penyiasatan terpilih kepada Bersatu. Yang masuk bertanding berbelas-belas parti, siasatlah semuanya.

"Agak lucu bila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan tiada campur tangan politik daripada kerajaan,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pasukan Rasuah Busters di Kompleks Karangkraf bagi membincangkan penubuhan semula Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM).

Laporan muka depan Sinar Harian yang menyiarkan isu pembekuan akaun Bersatu pada Khamis lalu.
Laporan muka depan Sinar Harian yang menyiarkan isu pembekuan akaun Bersatu pada Khamis lalu.

Hadir sama, Pasukan Teras Rasuah Busters, Shah Hakim Zain; wakil DAP, Khoo Poay Tiong (Ahli Parlimen Kota Melaka); wakil Parti Amanah Negara, Azli Yusof (Ahli Parlimen Shah Alam) serta wakil Parti Keadilan Rakyat, Syed Ibrahim Syed Noh (Ahli Parlimen Ledang).

Susulan itu kata Wan Saiful, beberapa laporan telah difailkan oleh Bersatu kepada SPRM agar siasatan sama dapat dijalankan kepada parti-parti kerajaan.

“Jadi kita minta dengan adanya laporan yang difailkan ini, siasatan dijalankan dengan adil dan segera kepada parti-parti kerajaan, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai siasatan SPRM terhadap akaun Bersatu, Wan Saiful berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh kepada suruhanjaya berkenaan.

Sehingga kini katanya, SPRM telah memanggil beberapa pemimpin parti dan pegawai parti.

“Saya tidak pasti berapa ramai, tetapi yang dipanggil termasuklah saya. Kami menyediakan segala dokumen yang diperlukan dan proses berjalan dengan lancar serta SPRM telah menjalankan tugas dengan penuh amanah dan mengikut segala aspek perundangan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan akaun Bersatu dibekukan sehari selepas parti itu mendedahkan penyata akaunnya.

Pembekuan itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Menurutnya, akaun parti berkenaan dibekukan sejak beberapa minggu lalu bagi memudahkan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!