Mencongak masa depan politik KJ
SELEPAS pengumuman pemecatan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dibuat secara rasmi pada Mesyuarat Kerja Tertinggi UMNO lalu, nama beliau terus menjadi bualan ramai termasuk mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tunku Ismail tidak menunggu lama ‘meminang’ Khairy untuk dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim.
Selain tawaran beberapa jawatan korporat dan penyelidikan, dalam dunia politik, Khairy sendiri memberitahu telah ditawarkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor dan beberapa ‘janji’ telah dibuat kepadanya, termasuklah jawatan menteri besar sekiranya menang.
Bagaimanapun, Khairy dilihat tidak memberi jawapan terus sama ada ya atau tidak, sebaliknya bermain teka-teki dengan menyifatkan PRN akan datang sebagai ‘peluang baik’ atau mungkin ‘peluang kedua’ untuk dirinya bangkit setelah ‘tumbang’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Sekiranya saya membuat keputusan tidak bertanding PRN, maka saya akan mempunyai lebih banyak masa untuk memutuskan platform politik yang saya pilih sebagai babak seterusnya dalam perjalanan politik saya.
“Jika saya mahu menyertai PRN, saya perlu membuat keputusan dalam beberapa bulan akan datang ke arah mana saya akan pergi,” ujarnya.
Sebelum itu, penulis ada menjengah komen di Twitter mengenai berita dakwaan Khairy ditawarkan jawatan menteri besar jika menang PRN dan ternyata rata-rata warganet agak terkejut.
Ada bersikap sarkastik dengan menyindir beliau yang sebelum ini lantang bersuara mengimpikan jawatan perdana menteri tetapi kini bertukar ‘selera’ kepada menteri besar.
Namun, beliau yang disifatkan seorang pemimpin berkredibiliti oleh warganet sekali lagi mendapat sokongan penuh seolah-olah diberi peluang kedua untuk terus menjadi pemimpin disegani meskipun jalan dipilih penuh berliku.
Mempunyai latar belakang pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan pernah menyatakan jika membuat keputusan kembali ke arena politik, beliau akan mula di Selangor.
Keberaniannya memilih Selangor di kawasan ‘hitam’ yang menyaksikan kekalahan buat julung kalinya pada pilihan raya membuka mata ramai pihak mengenai tindak tanduknya itu.
Ada yang mempersoalkan kenapa tidak cuba nasib di Negeri Sembilan, sedangkan beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Rembau selama 14 tahun. Adakah beliau tidak yakin dengan pengundi di sana?
Namun, Khairy mempunyai pandangan tersendiri dengan menyatakan beliau berminat perkembangan politik di Selangor dan tidak menolak bertanding pada PRN.
Semasa PRU15, kempen beliau di Sungai Buloh dikatakan sangat baik walaupun tidak menang kerusi Parlimen berkenaan.
Dalam pada itu, Perikatan Nasional (PN) dan Pas juga bersedia menerima Khairy menyertai parti tersebut setelah bekas Ketua Pemuda UMNO itu dikenakan tindakan penyingkiran oleh partinya.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, seluruh kepimpinan Pas dan PN menganggap penyertaan Khairy dalam gabungan itu diibaratkan sebagai kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.
Menguatkan lagi kenyataan, Khairy mengakui telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin pelbagai parti politik dan antara dibincangkan adalah posisi beliau, namun tidak dinyatakan parti mana.
Khairy menjangkakan PRN Selangor amat sengit kerana negeri itu adalah kubu kuat Pakatan Harapan (PH), namun menjelaskan pada PRU15 lalu, PN sudah mula bertapak.
Melihat rekod PRU15, gelombang hijau (Pas) dan PN sudah mula kelihatan khususnya di kerusi majoriti Melayu di Selangor.
Berdasarkan data PRU15, di Parlimen Kuala Langat, meskipun pengundi Melayu di bawah 60 peratus tetapi calon PN yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berjaya merampas kerusi tersebut daripada PH dalam saingan enam penjuru.
Jadi, tidak mustahil Pas memberi keyakinan akan menawan Selangor dengan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) - 33 kerusi mempunyai lebih 60 peratus pengundi Melayu.
Dalam pada itu, jika benar Khairy ‘sekapal’ dengan Pas dan PN pada PRN, akan berpotensi mencetuskan polemik politik baharu, sekali gus boleh mengganggu gugat kestabilan politik UMNO khususnya.
Jika gagal memanfaatkan ‘peluang kedua’ dan kecundang, adakah karier politik Khairy ‘terkubur’ sekali lagi? Apa pun andaian dan spekulasi, tunggu sahaja PRN kelak.
* Syairah Abd Lajis ialah Penolong Ketua Bahagian Media Sosial
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!