Bentang kertas putih perolehan vaksin buang masa - Marzuki
SHAH ALAM – Tindakan kabinet diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat keputusan mahu membentangkan kertas putih di Parlimen mengenai perolehan vaksin Covid-19 dilihat seolah-olah membuang masa.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, beliau tidak memahami mengapa kabinet berbuat keputusan sedemikian atas alasan kononnya perolehan dibuat dengan tidak teratur tanpa kelulusan Peguam Negara.
Jelasnya, keputusan perolehan vaksin Covid-19 telah dibawa ke kabinet untuk kelulusan dan kebiasaannya agensi-agensi berkaitan akan memberi ulasan terlebih dahulu terhadap Memorandum Jemaah Menteri.
“Saya percaya, Jabatan Peguam Negara antara agensi yang beri ulasan. Itu hal keputusan kabinet,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Anwar sebelum ini mendedahkan perolehan vaksin Covid-19 dan kos yang dimuktamadkan sebelum ini tidak mengikuti peraturan.
Menurutnya, perolehan bagi vaksin itu telah ditandatangani oleh Menteri Kesihatan tanpa mendapat persetujuan daripada Peguam Negara.
Kata Anwar, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan kertas putih mengenai perkara itu di Parlimen.
Tambah Marzuki, apa yang jelas adalah isu perolehan vaksin ini telah dibawa ke perhatian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada tahun 2021.
“Dalam laporan setebal 521 muka surat, PAC mengesahkan bahawa perolehan vaksin telah dibuat secara teratur.
“Pengerusi PAC pada ketika itu ialah Ahli Parlimen DAP, Wong Kah Woh. Nurul Izzah juga anggota PAC pada masa itu.
“Jadi, ke mana nak dibuang laporan PAC setebal 521 muka surat itu?” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!