'Saya masih trauma'

Anggota kecemasan mencari mangsa di tapak bangunan yang runtuh selepas gempa bumi di Diyarbakir, tenggara Turkiye. - Foto EPA
Anggota kecemasan mencari mangsa di tapak bangunan yang runtuh selepas gempa bumi di Diyarbakir, tenggara Turkiye. - Foto EPA
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Walaupun berlaku gegaran kecil, ia menakutkan saya. Saya masih lagi trauma,” kata Zahirul Amin Mohamad, 21, mahasiswa Universiti Gaziantep, yang kini berada di bawah jagaan Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Turkiye.

Mengimbau detik sebelum gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter menggegarkan Turkiye dan Syria pada Isnin lepas, Zahirul yang mengikuti pengajian Sejarah Islam di universiti berkenaan berkata, ketika kejadian, dia sedang menonton televisyen.

"Kami sering mengalami gegaran kecil di sini (Gaziantep), sekali sekala. Jadi, saya tidak ambil kisah pada mulanya. Tapi pada Isnin, selepas beberapa gegaran kecil, ia berlainan sekali. Kami betul-betul bergoncang (gegaran yang sangat kuat).

"Pada mulanya, saya tidak tahu apa perlu dilakukan. Asrama saya di tingkat lima dan bila saya lihat rakan di aras sama berlari turun. Saya pun ikut berbuat demikian.

"Bekalan elektrik juga terputus. Saya tinggalkan bilik sehelai sepinggang, saya hanya sempat mengambil telefon bimbit supaya saya boleh menghubungi keluarga di kampung,” katanya kepada Bernama yang dihubungi melalui telefon dari Kedutaan Besar Malaysia di Angkara, Turkiye pada Khamis.

Gempa bumi yang berpusat di wilayah Kahramanmaras di tenggara Turkiye, kira-kira 78 kilometer dari Gaziantep dikatakan gempa paling kuat melanda wilayah itu dalam tempoh lebih 100 tahun dan setakat ini telah mengorbankan 10,000 orang di Turkiye dan Syria.

Sebelum gegaran susulan, Zahirul, pelajar tahun dua di universiti itu berkata, dia dan rakan lain termasuk seorang lagi pelajar Malaysia Wan Isyraf Wan Haziq, 19, yang baru empat bulan mengikuti pengajian Bahasa Turki di universiti sama, telah pulang ke bilik masing-masing untuk mendapatkan barangan keperluan.

Menurutnya, walaupun bangunan asrama didiaminya tidak terjejas, namun gempa bumi itu telah mengakibatkan berlakunya retakan dan menyebabkannya tidak selamat untuk diduduki.

"Pada hari pertama, kami tinggal di masjid berhampiran yang kemudiannya menjadi sesak. Pada hari kedua, kami dapat maklumat universiti juga menyediakan penginapan, jadi kami kembali ke sana,” katanya.

Kedua-dua pelajar Malaysia itu kemudiannya telah dihubungi oleh Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan mereka kini ditempatkan di sana.

"Kami amat berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh Kedutaan Malaysia dan Indonesia di sini,” katanya sambil menambah fokus utama adalah untuk meninggalkan Gaziantep dan pergi ke tempat lebih selamat.

"Malah sehingga sekarang, gegaran masih dirasai di Gaziantep setiap tiga jam. Pada hari pertama kami dapat rasai gegaran setiap jam,” katanya.

"Ketika ini, kami masih dalam cuti semester dan tamat pada 20 Februari. Jika selamat untuk kembali ke universiti, saya akan balik tapi jika universiti mahu mengadakan pengajian secara maya, saya mungkin memilih untuk kembali ke Malaysia dan mengikuti pengajian secara maya dari rumah,” katanya.

Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal berkata, pihak kedutaan sedia membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat gempa bumi itu.

Malaysia adalah antara negara pertama bertindak balas terhadap bencana melanda Turkiye, dengan pengumuman sumbangan AS$1 juta untuk membantu mangsa gempa bumi dan telah mengerahkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kedua ke negara itu.

Mengenai penghantaran pasukan SMART kedua, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dilakukan berikutan keberkesanan pasukan SMART pertama iaitu di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang telah berlepas ke Turkiye pada Isnin lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!