'Projek terbengkalai 11 tahun, ada pemohon sudah meninggal'

Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Taman Jaya Diri yang dikatakan telah terbengkalai hampir 11 tahun. (Gambar dalam : Mujibur Rahman)
Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Taman Jaya Diri yang dikatakan telah terbengkalai hampir 11 tahun. (Gambar dalam : Mujibur Rahman)
A
A
A

MARAN - Kerajaan Pahang digesa memastikan projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Taman Jaya Diri yang didakwa terbengkalai kira-kira 11 tahun, diselesaikan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak berkata, ini kerana pemohon sudah lama menunggu untuk memiliki kediaman itu, malah dan ada sebahagian daripada mereka telah pun meninggal dunia.

Menurutnya, sekiranya dibiarkan terlalu lama, projek perumahan itu dikhuatiri mengalami kerosakan teruk, selain boleh mendedahkan lokasi terbabit kepada aktiviti penagihan dadah.

"Perkara ini sudah dibawa ke sidang DUN Dewan Undangan Negeri) pada penggal lalu dan beberapa siri lawatan telah dilakukan Exco perumahan pada ketika itu. Malah, kerajaan Pahang juga melantik PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang) untuk menyambung kerja-kerja pembinaan ini.

"Namun, sehingga ke hari ini seperti tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak yang dilantik sedangkan pembinaan rumah itu patut disegerakan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum itu, beliau bersama kepimpinan Perikatan Nasional (PN) mengadakan tinjauan di tapak perumahan terbabit dan mendapati banyak berlaku kerosakan.

Projek PAKR itu dimajukan sebuah syarikat tempatan dengan kos sendiri di bawah projek silang kerajaan negeri yang mula pembinaan pada 1999.

Kerajaan menukar projek itu dengan tanah seluas 26 hektar di Mukim Bukit Segumpal sebagai anugerah dan hanya sempat dalam pembinaan sehingga 2011.

Projek terbabit didakwa terbengkalai mulai 2012 sehingga sekarang tanpa sebarang aktiviti.

Difahamkan sebanyak 186 unit rumah telah dibina di kawasan terbabit.

Sinar Harian pada 3 Januari 2013 melaporkan kekesalan pemohon terhadap pemaju yang dilantik kerajaan Pahang dalam pembinaan rumah terbabit yang membiarkan terbengkalai dalam tempoh lama, sekali gus memusnahkan harapan mereka untuk memiliki rumah.

Mujibur Rahman menjelaskan, kerajaan Pahang sepatutnya mengambil cakna dalam setiap projek perumahan seliaan kerajaan negeri bagi memastikan pemohon dan pembeli tidak berdepan dengan risiko sebegini.

"Bukan di kawasan ini sahaja (Taman Jaya Diri) yang mempunyai masalah sebegini (rumah terbengkalai) tetapi ada beberapa kawasan lain lagi di sekitar Maran ini," jelas beliau lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!