Van libat nahas di Genting Highlands ada lesen bas persiaran
SHAH ALAM - Van yang membawa 14 penumpang dan mengakibatkan tujuh daripadanya maut dalam satu kemalangan di Kilometer (KM) 4.8 Jalan Genting Highlands pada Rabu didapati dilesenkan di bawah kelas bas persiaran.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkata, satu siasatan secara menyeluruh dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) akan dijalankan.
Ujarnya, tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pemegang berlesen yang tidak mematuhi syarat-syarat ditetapkan.
“APAD akan bekerjasama dengan JPJ bagi mendapatkan Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA), dan juga turut memanjangkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk tindakan penguatkuasaan yang berkaitan.
“Dalam masa yang sama, APAD juga akan memohon kerjasama Miros untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan menganalisis punca nahas jalan raya yang menyebabkan kematian ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Van persiaran yang dalam perjalanan ke Pulau Pinang itu terbabas melanggar konkrit pembahagi jalan selepas pemandunya hilang kawalan di kawasan selekoh.
Kesemua mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Bentong dan Hospital Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, APAD menambah, tindakan tegas sama ada penggantungan atau pembatalan lesen akan dibuat berdasarkan peruntukan Akta Pengangkutan Awam 2010 [Akta715], jika syarikat pengendali kenderaan tersebut didapati bersalah.
“Di bawah Akta yang sama, pengendali yang didapati melanggar mana-mana syarat lesen boleh dikenakan tindakan dan sekiranya disabitkan kesalahan didenda tidak kurang daripada RM1,000 tidak lebih dari RM500,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!