Kerajaan cari kaedah bendung monopoli ambilan pekerja asing

Sivakumar (dua dari kanan) ketika sidang akhbar pada Majlis Konvokesyen Akademi Keretapi Tanah Melayu (KTM) di sini pada Khamis.
Sivakumar (dua dari kanan) ketika sidang akhbar pada Majlis Konvokesyen Akademi Keretapi Tanah Melayu (KTM) di sini pada Khamis.
A
A
A

BATU GAJAH - Kerajaan sedang mencari kaedah terbaik bagi membendung monopoli pihak tertentu dalam isu pengambilan pekerja asing.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, antara usaha dilakukan termasuklah menggalakkan majikan berurusan terus tanpa melalui ejen untuk mendapatkan tenaga kerja.

Menurutnya, usaha ini bertujuan memastikan pengambilan pekerja asing tidak disalahgunakan mana-mana pihak.

"Memang kerajaan prihatin dalam isu ini. Perdana Menteri dan seluruh kabinet sedia maklum tentang masalah ini. Usaha-usaha sedang diambil untuk memastikan supaya pekerja-pekerja asing tidak disalahgunakan mana-mana pihak untuk membuat keuntungan yang tinggi.

"Jadi pada masa ini banyak usaha-usaha yang telah diambil. Pada minggu lepas Menteri Dalam Negeri juga telah pergi ke tiga negara sumber iaitu Nepal, Indonesia dan Bangladesh untuk berbincang berkaitan perkara ini dan kami sedang membuat kaedah terbaik bagaimana mengatasi perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Akademi Keretapi Tanah Melayu (KTM) di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTM Berhad, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin.

Sivanesan berkata, mekanisme berkaitan akan dilaksanakan untuk membolehkan majikan berurusan terus tanpa menanggung kos yang tinggi sebelum tenaga kerja asing tiba di negara ini.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhenti menggunakan ejen bagi pengambilan pekerja asing kerana melibatkan kos tinggi.

Beliau memberi contoh, kos bagi pekerja Nepal hanya RM3,700, tetapi bagi pekerja Bangladesh dan Indonesia, masing-masing melibatkan kos antara RM20,000 hingga RM25,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!