Mahu pinjam RM40,000 tapi rugi hampir RM70,000
KUANTAN - Seorang peniaga di sebuah daerah negeri ini kerugian RM69,374 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud, bulan lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kejadian melibatkan lelaki berusia 36 tahun yang dikatakan melihat iklan pinjaman wang di laman sosialnya dan berminat untuk membuat pinjaman pada 31 Januari lalu.
Menurutnya, mangsa menghubungi suspek dan menyatakan hasratnya untuk membuat pinjaman wang sebanyak RM40,000 bagi tujuan pembayaran kad kredit serta pengubahsuaian rumah.
"Suspek bersetuju memberi pinjaman dan meminta mangsa untuk membuat bayaran atas alasan bayaran proses pinjaman, insurans pinjaman dan cukai pinjaman.
"Susulan itu, mangsa telah membuat 10 kali transaksi membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM69,374 ke dalam tiga akaun bank yang berbeza," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu, Ramli menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!