Dilapor meninggal dunia kerana MyKad dipegang mangsa maut

Keadaan van persiaran dinaiki 14 penumpang termasuk pemandu yang terbabit nahas di Jalan Genting Highlands meragut tujuh nyawa pada Rabu.
Keadaan van persiaran dinaiki 14 penumpang termasuk pemandu yang terbabit nahas di Jalan Genting Highlands meragut tujuh nyawa pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang daripada tujuh penumpang van persiaran yang dilaporkan maut dalam nahas di Jalan Genting Highlands pada Rabu sebenarnya cedera dan masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kekeliruan berlaku apabila kad pengenalan mangsa, Goh Siew Kim, 61, dipegang seorang lagi mangsa yang meninggal dunia, Wong Ah Mooi @ Wong Seh Moi, 83.

Menurutnya, perkara itu disahkan pihak polis hanya selepas keluarga Siew Kim tiba di hospital awal pagi pada Khamis.

"Mangsa yang disahkan maut di tempat kejadian terdiri pemandu, Wong Choun Chiet,49 dan lima penumpang wanita, Foong Ah Lan, 67, Lee Moy, 67, Ang Meng Hong,62, Seow Mee Tin, 72 dan Wong Ah Mooi @ Wong Seh Moi, 83.

"Seorang penumpang lelaki, Chang Them Kong, 70 meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya.

Ramli berkata, lima mangsa yang terlibat dalam nahas itu kini di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL dan seorang lagi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.

Menurutnya, seorang lagi mangsa yang menerima rawatan di HKL berada dalam keadaan stabil.

"Enam mangsa yang maut dibawa ke HoSHAS dan satu di HKL untuk proses bedah siasat.

"Semua jenazah mangsa dijangka dituntut ahli keluarga hari ini (Khamis)," katanya.

Tambah beliau, punca sebenar kemalangan itu masih dalam siasatan.

"Difahamkan mangsa dari Pulau Pinang datang bercuti di Genting Highlands dan kemalangan kira-kira jam 1.15 tengah hari itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!