Kes Ebit Lew: Perbicaraan ditangguh Mei depan
TENOM - Perbicaraan pendakwah terkenal, Ebit Lew membabitkan kes gangguan seksual yang berlangsung di Mahkamah Majistret Tenom di sini ditangguhkan pada Mei depan.
Mahkamah pada Khamis menetapkan 11 dan 12 Mei sebagai tarikh baharu perbicaraan manakala 20 hingga 23 Jun dan 11 hingga 14 Julai sebagai tarikh sambungan perbicaraan seterusnya.
Peguam mewakili Ebit Lew, Ram Singh dalam hujahannya berkata, pihaknya akan membuat semakan semula di Mahkamah Tinggi dan meminta perbicaraan itu ditangguhkan pada Khamis dan Jumaat untuk tidak memanggil saksi pendakwaan ketujuh, Inspektor Yip Chang Ching.
"Sekiranya Inspektor Yip dipanggil hari ini (Khamis), ia akan menjejaskan hak kami untuk membuat semakan.
"Ia bukan hanya untuk penangguhan semata-mata," katanya dalam mahkamah di sini, pada Khamis.
Mahkamah sebelum itu membenarkan Inspektor Chang Ching untuk memberi keterangan saksi pendakwaan, namun pihak pembelaan juga berhak untuk memeriksa gambar yang dijadikan bahan bukti dalam kes itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria membantah permohonan penangguhan perbicaraan berkenaan yang telah ditetapkan pada Khamis dan Jumaat.
"Pihak pendakwaan bersedia untuk memanggil Inspektor Yip memberi keterangan hari ini (Khamis) berdasarkan keputusan mahkamah.
"Pihak pendakwaan akan memulakan pemeriksaan utama terhadap Inspektor Yip dan mengemukakan dokumen kepada mahkamah untuk ditandakan sebagai eksibit pendakwaan dan memberi masa yang sewajarnya pihak pembelaan menyemak dan meneliti dokumen sebelum meneruskan soalan pihak pendakwaan selaras dengan keputusan mahkamah pada pagi ini," katanya.
Sehubungan itu, mahkamah telah membenarkan penangguhan perbicaraan terbabit sehingga semakan di Mahkamah Tinggi selesai didengar dan diputuskan.
Mahkamah dalam pada itu turut membenarkan ikat jamin terhadap Ebit, 37, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim dilanjutkan.
Sebelum itu, dalam perbicaraan pada Selasa lalu, Zahida memaklumkan kepada mahkamah bahawa Inspektor Chang Ching merupakan pegawai analisis forensik yang akan memberikan keterangan bahan bukti yang ditemui dalam pemacu kilat yang dihantar kepadanya.
Pemacu kilat itu mengandungi imej tertuduh dan pengadu yang bersifat seksual selain terdapat 90 imej lucah didalamnya.
Ebit Lew berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Beliau diwakili barisan peguamnya, Ram, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.
caption
1. Ebit bersama barisan peguamnya, Ram dan Kamarudin ketika tiba di Mahkamah Majistret Tenom, di Tenom.
2. Ebit ketika tiba di Mahkamah Majistret Tenom bagi menghadiri perbicaraan kes gangguan seksual yang dihadapinya.
tamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!