KKM, MOF, JPA adakan libat urus tambah keperluan doktor gigi
TANJONG KARANG - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengadakan libat urus dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi melihat keperluan penambahan doktor gigi di negara ini.
Menterinya, Zaliha Mustafa berkata, meskipun berlaku kekurangan doktor gigi, namun KKM mengambil beberapa langkah yang perlu bagi mengatasi masalah tersebut.
"Seramai 154 doktor gigi ditempatkan pada 2021 dan pada tahun lalu bertambah kepada 477 doktor gigi yang menyaksikan peningkatan tiga kali ganda," katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Hospital Tanjong Karang, di sini pada Khamis.
Mengulas kesesakan di klinik pergigian, beliau memberitahu, pelbagai pendekatan digunakan untuk mengatasi masalah berkenaan.
"Antara yang cuba kita laksanakan adalah menerima pesakit secara walk-in (pandu lalu) ke klinik pergigian dan memperkenalkan Klinik Dental Komuniti yang diperhalusi secara menyeluruh," ujarnya.
Ditanya mengenai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai waktu menunggu terlalu lama di bahagian kecemasan hospital seluruh Selangor, Zaliha berkata, KKM telah merangka beberapa langkah untuk mengatasi masalah tersebut.
"Antaranya melakukan audit kepada pihak berkaitan termasuk pengarah hospital bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi.
"Selain itu, ada perkhidmatan hospital yang boleh kita guna pakai termasuk membina hospital atau wad 'short stay'," katanya.
Ujar beliau, kementeriannya turut bercadang menyediakan wad transit yang berfungsi menempatkan pesakit yang tidak dapat discaj sementara menunggu keluarga membawa pulang.
"Ini antara langkah dapat membantu mengurangkan kesesakan dan menunggu tempoh masa lama bagi pesakit baru," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!