4 warga asing didakwa guna kad pengenalan palsu

Empat warga asing didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan pada Khamis atas tuduhan menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain, awal bulan ini.
Empat warga asing didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan pada Khamis atas tuduhan menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain, awal bulan ini.
A
A
A

KUANTAN - Empat warga asing terdiri daripada tiga warga Filipina dan seorang dari Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan pada Khamis atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain, awal bulan ini.

Tertuduh warga Indonesia, Tugiono Tukijan, 48, mengaku tidak bersalah manakala Jukipli Jakisim, 40, merupakan warga Filipina mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Tugion dan Jukipli masing-masing didakwa menggunakan kad pengenalan palsu dan memiliki kad pengenalan individu lain pada 7 Februari lalu.

Susulan daripada pengakuan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap Jukipli bermula tarikh tangkap.

Bagaimanapun, tiada sebarang jaminan diberikan kepada Tugion dan kes disebut semula pada 27 Februari ini.

Sementara itu di Mahkamah Majistret berasingan, dua lagi tertuduh warga Filipina iaitu Nasir Bara, 44, dan Sapina Hussin, 53, masing-masing mengaku bersalah memiliki kad pengenalan palsu serta memiliki kad pengenalan bukan kepunyaannya di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Nasir yang didakwa bersalah di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dijatuhi hukuman denda sebanyak RM4,000 dan lapan bulan penjara jika gagal membayar denda.

Sementara Sapina dihukum penjara lapan bulan dari tarikh sabitan selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(o) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang, Shahzan Amir Salaki@Mohd Noor dan Mohd Jeffri Abdul Rashid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

JPN Pahang menerusi kenyataan memaklumkan kesemua tertuduh ditahan dalam satu Operasi Terancang yang dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Pahang di sekitar Kuantan.

Sehubungan itu, JPN Pahang mengingatkan orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama untuk membuat aduan terus kepada pihak berkuasa bagi setiap isu penyelewengan yang dikesan.

Katanya, ini bagi memastikan setiap kesalahan yang dilakukan dapat diambil tindakan penguatkuasaan yang boleh menjadi teladan kepada masyarakat amnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!