Norizam bimbing Abu Bakar solat
PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman memberi bimbingan dan berkongsi pengetahuan dengan saudara baharu yang juga pembantu jurulatih dan penganalisis video kelab, Pol Abu Bakar.
Beliau yang mesra disapa sebagai Zamburger menerusi media sosialnya dilihat mengajar cara berwuduk dan solat kepada Abu Bakar di Masjid Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada Khamis.
“Jam 6 pagi saya menunggu Pol Abu Bakar di Masjid Bukit Damansara. Beliau hadir awal. Ajar beliau ambil air sembahyang dan beritahu perkara asas solat,” catatnya di Facebook Zamsaham.
Beliau turut berkongsi dengan Abu Bakar mengenai niat, kelebihan solat dan bersamanya menunaikan solat Subuh secara berjemaah.
“Walaupun beliau baru, saya pesan apa pun mulakan dengan niat. Niat solat bukan untuk glamour, untuk orang tetapi lakukan solat Subuh ini untuk ALLAH SWT. ALLAH SWT Maha Kuasa. Pol belajar menunaikan solat.
“Kita yang perlukan ALLAH dan bukan sebaliknya. Saya terangkan juga kelebihan Subuh, faedahnya, mendengar azan bersama dan alhamdulillah selesai solat Subuh dua rakaat berjemaah,” katanya.
Norizam turut mengajak warganet mendoakan kebaikan dan kesejahteraan ke atas Abu Bakar.
“Kita doakan kebaikan saudara baru Pol Abu Bakar supaya mati dalam iman dan Islam serta jelas hala tuju hidupnya,” tulis Norizam.
Pol Abu Bakar atau nama asalnya Pol Corpas Cuatrecasas pada Rabu dilaporkan memeluk agama Islam yang disyahadahkan oleh Norizam, di depan beberapa barisan kejurulatihan yang lain.
Abu Bakar sudah bersama skuad The Red Warriors sejak musim 2021 sehingga kini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!