'Nak perut kempis, nak pergi sekolah'
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] “Nak perut kempis.” Itu luahan sayu seorang kanak-kanak perempuan yang menghidap kanser tahap empat dan ketumbuhan hingga menyebabkan perutnya membesar sejak dua tahun lalu.
Kanak-kanak terbabit, Nor Ariana Mohd Shahrul Afendi, yang berusia 11 tahun juga terpaksa berhenti sekolah kerana kesukaran membawa perut yang membesar sehingga saiz lebih daripada 30 sentimeter (cm) lebar dan panjang.
Anak sulung daripada dua beradik itu mengakui amat merindui rakan-rakannya di Sekolah Kebangsaan Kem Pengkalan Chepa yang ditinggalkan sudah lebih setahun lalu.
“Nak pergi sekolah, nak sihat, nak perut kempis untuk naik basikal.
“Saya juga nak bermain dengan adik,” luahnya lagi.
Ibunya, Siti Nazirah Razali, 33, berkata, Nor Ariana menghidap penyakit Mixed Germ Cell Tumour (Yolk Sac and Teratoma) hingga ke tulang belakang.
Menurutnya, penyakit itu disedari selepas menjalani imbasan Magnetic Resonance Imaging dan Computed Tomography.
“Dia kerap mengadu sakit perut dan muntah-muntah. Pergi ke klinik doktor beritahu sembelit sebelum disahkan ada kanser serta ketumbuhan oleh Hospital Raja Perempuan Zainab II.
“Awalnya ketumbuhan itu sebesar 6cm lebar dan 7cm panjang sahaja. Dia dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia dan dimasukkan ke wad selama dua bulan serta menjalani kemoterapi sebanyak enam kali dalam tempoh enam bulan sehingga rambut gugur,” katanya.
Menurut suri rumah itu, Nor Ariana pernah terlantar selama empat bulan dan baru dapat kembali berjalan, namun perlu dibantu untuk menguruskan diri seperti membuang air besar.
“Dia asalnya periang menjadi pendiam kerana sakit yang dialami. Dia juga tidak dapat duduk di atas lantai dan sakit apabila duduk terlalu lama.
“Peratusan hidup 50 per 50 kalau lakukan pembedahan membuang ketumbuhan yang mengandungi sel rambut dan gigi itu,” katanya.
Nor Ariana turut menerima bantuan pesakit kronik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan ke Akaun Bank Simpanan Nasional Mohd Shahrul Afendi Mat (bapa) 0300141100042052.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!