Tiga jam selamatkan budak lelaki terperangkap dalam runtuhan
SINGAPURA - Tiga pasukan penyelamat yang turut melibatkan pasukan dari Singapura berjaya menyelamatkan seorang budak lelaki yang terperangkap selepas bangunan kediaman tiga tingkat di Dulkadiroğlu runtuh susulan gempa bumi yang melanda Kahramanmaraş, Turkiye.
Pasukan 20 anggota Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dari kontinjen Operasi Lionheart (OLH) mendarat di Adana Rabu (8 Feb) dan berlepas ke Dulkadiroğlu untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Video dan gambar operasi menyelamat budak itu dikongsi di laman Facebook rasmi SCDF.
Budak lelaki itu ditemukan di bawah runtuhan bangunan tiga tingkat ketika operasi SAR dijalankan di tengah-tengah cuaca sejuk kira-kira 2℃, menurut SCDF.
SCDF bekerjasama dengan pasukan penyelamat tempatan dan pasukan penyelamat dari Sepanyol.
Pasukan penyelamat Sepanyol menggunakan anjing pengesan untuk mengenal pasti lokasi budak lelaki itu.
SCDF pula menggunakan skop gentian optik untuk mengesahkan visual budak berkenaan.
Kanak-kanak lelaki itu berada di bilik tidurnya ketika ditemukan kira-kira 11.45 malam Rabu (4.45 pagi Khamis (9 Feb), waktu Singapura). Operasi menyelamat mengambil masa selama tiga jam.
Menurut SCDF, Singapura kini bersiap sedia untuk menempatkan pasukan kedua ke Turkiye.
Tambahan 48 anggota SCDF telah memulakan persiapan untuk ditugaskan ke Turkiye bagi menambah kekuatan pasukan terdahulu seramai 20 orang.
Mereka dijangka meninggalkan Singapura dalam tempoh 48 jam.
Diketuai Komander Kontinjen Kolonel Chew Keng Tok, keseluruhan 68 anggota kontinjen itu terdiri daripada anggota Pasukan Bantuan dan Penyelamat (DART) elit, pegawai operasi, doktor perubatan, paramedik, pakar mencari dengan empat ekor anjing, pegawai penilaian bahan berbahaya dan pegawai sokongan.
Ini adalah penempatan OLH ke-20 di luar negara sejak 1990, kata SCDF. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!