DVS boleh pertimbang permohonan pindah ternakan babi hidup

DVS negeri boleh pertimbang permohonan daripada negeri yang terjangkit dengan wabak ASF untuk pindah ternakan babi hidup ke rumah sembelihan di negeri lain. - Foto hiasan
DVS negeri boleh pertimbang permohonan daripada negeri yang terjangkit dengan wabak ASF untuk pindah ternakan babi hidup ke rumah sembelihan di negeri lain. - Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negeri boleh mempertimbangkan permohonan daripada negeri yang terjangkit dengan wabak demam babi Afrika (ASF) untuk memindahkan ternakan babi hidup ke rumah sembelihan di negeri lain.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia bagaimanapun perlu memenuhi syarat yang ditetapkan oleh DVS negeri tanpa kompromi.

Menurut MAFS negeri sumber perlu memastikan ternakan babi berkenaan disahkan bebas penyakit melalui ujian makmal, survelan klinikal yang dijalankan oleh DVS, selain borang deklarasi status haiwan (babi) perlu dilengkapkan oleh veterinawan swasta atau ladang atau pemilik haiwan atau produk haiwan atau premis; mempunyai kod ladang babi dan melampirkan lakaran pengacipan telinga.

Selain itu, menurut kenyataaan tersebut perlu juga dipastikan bilangan ternakan yang dipindahkan sama seperti bilangan dalam permit dan nombor kenderaan yang membawa ternakan sama seperti dalam permit pindah serta tidak dikongsi dengan ladang lain.

"Kelulusan permit adalah untuk tujuan penyembelihan sahaja dan hendaklah mematuhi semua syarat umum pemindahan ternakan antara negeri," menurut kenyataan itu.

MAFS melalui DVS telah mengeluarkan larangan pemindahan ternakan babi hidup antara negeri bagi tujuan mengekang penularan wabak ASF melalui surat arahan Ketua Pengarah DVS bertarikh 10 Januari 2023.

Ia adalah selaras dengan Protokol Veterinar Malaysia berkenaan penyakit ASF bahawa kawalan pergerakan atau pemindahan dapat mengurangkan risiko kemasukan virus berkenaan.

Persatuan Pembantai-Pembantai (‘butcher’/ penjual daging) Kuala Lumpur dan Selangor menggesa DVS mengeluarkan laporan mengenai wabak itu dan membatalkan larangan penghantaran tersebut, selepas menurut pengerusinya Lee Ping Hock, beberapa negeri kini menghadapi kekurangan daging babi ekoran jabatan itu melarang penghantaran ternakan babi hidup antara negeri.

Menurut kenyataan MAFS itu, berdasarkan unjuran sehingga Jun 2023 oleh DVS bekalan daging babi dalam negara adalah mencukupi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!