KPM siasat dakwaan guru galak pelajar peluk Islam
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyiasat dakwaan seorang guru yang menggalakkan pelajar Tingkatan Tiga di Kuala Lumpur untuk memeluk Islam bagi meningkatkan peluang menjadi pemain bola sepak kebangsaan.
Menerusi kenyataan pada Khamis, kementerian itu juga bersedia memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya diperlukan.
Menurut KPM, pihaknya telah mendapatkan maklum balas awal daripada pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) berhubung dakwaan yang disiarkan menerusi rakaman sidang media pada Rabu.
"KPM memandang serius isu yang dilaporkan ini dan menegaskan bahawa hal agama tidak boleh dijadikan persendaan," kata kementerian itu.
Sehubungan itu, siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan perbuatan itu.
"KPM tidak akan berkompromi dalam hal-hal melibatkan pengurusan sekolah khususnya terhadap perkara yang boleh menggugat perpaduan kaum dan agama," katanya.
Terdahulu portal melaporkan ibu kepada pelajar tersebut mendakwa guru berkenaan menggalakkan anaknya memeluk Islam.
Malah wanita yang dikenali sebagai Vasan itu turut mendakwa guru berkenaan mencadangkan nama Islam untuk anaknya selain telah bercakap mengenai Islam sejak enam bulan lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!