Gempa bumi Turkiye 130 kali lebih kuat berbanding Itali

Imej satelit menunjukkan kemusnahan dan penempatan kecemasan di sebuah stadium susulan gempa bumi di Kahramanmaras, Turkiye.
Imej satelit menunjukkan kemusnahan dan penempatan kecemasan di sebuah stadium susulan gempa bumi di Kahramanmaras, Turkiye.
A
A
A

ROM - Tenaga yang terhasil daripada dua gempa bumi yang melanda 10 wilayah di selatan Turkiye adalah 130 kali lebih kuat berbanding yang berlaku di Itali pada 2016, menurut seorang saintis terkemuka Itali.

Bercakap kepada Agensi Anadolu, ketua Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan Itali (INGV), Carlo Doglioni, berkata, plat Anatolia mungkin telah bergerak sekitar tiga meter akibat gempa bumi pertama.

Beliau berkata, gempa bumi kedua yang berlaku pada tengah hari Isnin mungkin menggerakkan plat itu lebih jauh.

"Berlaku pengumpulan tenaga selama beberapa dekad di tempat berlakunya gempa bumi. Ia tidak lagi dapat menahan tenaga manakala plat Anatolia terus bergerak ke arah barat daya. Akibatnya tenaga yang terkumpul dibebaskan.

"Kami akan mengetahui angkanya sebaik kami memperoleh data satelit,” kata Doglioni.

Ditanya sama ada gempa bumi baharu boleh berlaku di rantau yang sama, beliau berkata kemungkinan itu ada kerana "alam semula jadi sentiasa mampu mengejutkan kita."

Dua gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 pada skala Richter yang berpusat di wilayah Kahramanmaras di selatan Turkiye, menjejaskan 13 juta orang di 10 wilayah termasuk Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye, dan Sanliurfa.

Sekurang-kurangnya 14,014 orang terbunuh dan 62,937 yang lain cedera.

Gempa itu turut menjejaskan negara jiran Syria menyaksikan kematian akibat tragedi itu mencecah lebih 3,150 orang. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!