Sarawak sedia jadi tuan rumah Sukma 2024

Abang Johari. - Foto Bernama
Abang Johari. - Foto Bernama
A
A
A

SARAWAK bersedia menjadi tuan rumah penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 sekiranya diberikan peluang untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata, bagaimanapun, kerajaan Persekutuan perlu memaklumkan perkara itu lebih awal sebagai persediaan negeri ini untuk memperbaiki serta menaik taraf kemudahan dan infrastruktur sukan yang sedia ada.

"Kita (Sarawak) akan agihkan peruntukan khas untuk pembangunan sukan...saya juga telah mencadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh semasa mengadakan pertemuan dengan beliau baru-baru ini agar penganjuran Sukma berdasarkan penggiliran seperti di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.

"Kita juga mahu bersama-sama membangunkan sukan negara serta meningkatkan mutu atlet negara. Contohnya kita ada (ratu terjun negara) Datuk Pandelela (Rinong) dan (atlet powerlifting) Bonnie (Bunyau Gustin)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian insentif atlet Sukma MSN 2022; Sukan SEA Hanoi 2021; Sukan Para ASEAN 2022 di Solo, Indonesia dan Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Kuching pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri itu, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Abang Johari berkata, penganjuran SUKMA seharusnya mempunyai standard dan konsistensi supaya Malaysia mampu melahirkan barisan atlet bertaraf antarabangsa.

"Untuk sukan seluruh negara sepatutnya kita ada satu modul standard...tidak boleh membatalkan mana-mana sukan sesuka hati," katanya.

Pada majlis itu, insentif wang tunai berjumlah RM755,000 telah diagihkan kepada atlet Sarawak yang berjaya memperoleh pingat dalam temasya sukan tersebut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!