Hasrat berhenti kerja rupanya petanda ajal
KLUANG - Hasrat seorang warga emas mahu berhenti kerja dengan SWM Environment pada bulan depan rupanya petanda ajalnya sudah tiba.
Basri Mat Nor, 60, yang merupakan pesara tentera meninggal dunia semasa bekerja di Kampung Tengah Dalam di sini pada Rabu.
Menurut anaknya, Nur Mastura, 34, sebelum itu bapanya sepatutnya menghantar sampel kahak ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini tetapi singgah terlebih dahulu di jalan berkenaan.
"Bapa saya yang menghadapi masalah jantung perlu ke hospital semalam namun mahu menghabiskan kerja terlebih dahulu di jalan kampung berkenaan. Selesai kerja dia mahu terus ke hospital.
"Tetapi rancangannya tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia di tepi jalan kampung berkenaan," katanya ketika dihubungi.
Nur Mastura yang juga bekerja dengan SWM Environment berkata, selepas dimaklumkan keadaan bapanya dan pada sama kejadian itu tular dalam media sosial, dia pergi ke tepi jalan berkenaan dan mendapati terdapat darah beku.
"Darah beku tersebut dipercayai berpunca daripada bapa saya yang mengalami batuk. Kemudian pihak hospital mengesahkan kematian bapa saya akibat masalah jantung," ujar ibu kepada tiga anak itu.
Dia berkata, bapanya yang merupakan bekas tentera dan polis bantuan tinggal di kampung berkenaan sepatutnya berjumpa pakar jantung pada bulan depan untuk rawatan susulan penyakitnya itu.
"Saya terkilan kerana pada malam Selasa saya sepatutnya bertemu dengannya dan merancang membawanya ke hospital tetapi ayah saya tidak bagi, dia kata dia baik-baik sahaja. Pada bulan lalu dia ada masuk wad kerana masalah jantung.
"Anak saya merupakan cucu sulung dan dia sangat rapat dengan bapa saya. Anak saya beria-ria ajak saya pergi jugak rumah datuknya yang dia panggil abah," ujar Nur Mastura yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.
Menurutnya, rakan kerja bapanya memberitahu, arwah ada menyatakan hasrat mahu pencen pada bulan depan selepas belasan tahun berkerja dengan syarikat konsensi berkenaan.
"Rakan bapa saya tanya, ok tak cik Basri, dia kata ok, tapi dia kata akan kerja tak sampai bulan tiga ni. Bulan tiga dia nak pencen. Rupanya itu tanda dia nak pergi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!