ACUPM berjaya jejak 137 alumni di Pahang
KUANTAN - Pusat Alumni Universiti Putra Malaysi (ACUPM) berjaya menjejaki 137 alumni di Pahang melalui Program Tracing Alumni @ District (TAD) yang pertama kalinya dilaksanakan tahun ini.
TAD Zon Timur yang dijalankan selama enam hari bermula 12 April lalu melibatkan beberapa daerah termasuk Pekan, Maran, Rompin dan Kuantan.
Pegawai Eksekutif 3 ACUPM, Nur Anisah Ezuddin berkata, pihaknya menjejaki alumni UPM melalui beberapa agensi dan syarikat yang membawa kepada kepentingan bersama dalam merealisasikan hasrat prospek kolaborasi di antara UPM dan alumni di setiap daerah.
Menurutnya, antara agensi yang dijejaki melalui TAD Zon Timur ini ialah Kolej Vokasional Juasseh, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rompin, Kolej Vokasional Kuantan, PPD Kuantan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang, PPD Pekan, Kolej Vokasional Pertanian Chenor dan PPD Maran.
“Hasil perancangan aktiviti dan lawatan agensi, seramai 137 alumni berjaya dijejaki dan data alumni telah dikemas kini dengan pelbagai prospek kolaborasi telah dipersetujui.
“Pada masa sama, kita juga berjaya mengadakan Program Malam Mesra Alumni UPM di Daerah Rompin dan Kuantan,” katanya.
Nur Anisah berkata, program itu dilaksanakan dalam usaha memantap dan memperluaskan jaringan alumni UPM.
“Kita sentiasa komited dalam merencana dan melaksanakan pelbagai aktiviti serta program melibatkan alumni bagi mengekalkan jalinan hubungan sepanjang hayat yang konsisten di antara alumni dan alma mater (universiti).
“Sebagai sebuah pusat tanggungjawab yang berperanan menggerakkan aktiviti perhubungan alumni, ACUPM sentiasa seiring dengan hasrat universiti untuk memperkasakan hubungan dan jaringan alumni dengan melaksanakan pelbagai program untuk merapatkan hubungan para alumni dengan universiti,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu sebagai menyokong universiti ke arah matlamat Putra® Global 200 (PG200), salah satu aspirasi penting dalam Pelan Strategik UPM 2014-2020 untuk menduduki senarai 200 universiti terbaik di dunia dalam penilaian QS World University Ranking pada tahun 2020.
“Program ini menumpukan setiap daerah di bawah naungan negeri meliputi setiap zon di Semenanjung Malaysia.
“Tujuan asasnya untuk menjejaki para alumni secara kelompok kecil dengan lebih dekat melalui daerah-daerah yang ditetapkan agar perhubungan alumni di setiap daerah terus diperkasakan dan secara tidak langsung dapat membawa alumni kembali menyumbang kepada universiti,” katanya.
Nur Anisah berkata, program itu juga disasarkan sebagai salah satu landasan terbaik kepada para alumni untuk menyumbang kembali kepada universiti melalui Tabung 1 Alumni 1 Sumbangan Ringgit (1A1SR).
“Konklusinya, dalam usaha membudayakan semangat kekitaan, kebanggaan dan keprihatinan alumni terhadap alma mater, ACUPM sentiasa memantapkan usaha untuk terus melestarikan rangkaian hubungan yang baik dengan alumni dari semua kategori.
“ACUPM bercadang memperluaskan penganjuran aktiviti TAD 2019 ke zon Barat dan Utara melalui daerah-daerah yang ditetapkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!