Malaysia-Thailand meterai MoU kukuh kerjasama ekonomi digital

MDEC memeterai MoU dengan DEPA untuk memperkukuh kerjasama ekonomi digital antara Malaysia dan Thailand. - Foto Bernama.
MDEC memeterai MoU dengan DEPA untuk memperkukuh kerjasama ekonomi digital antara Malaysia dan Thailand. - Foto Bernama.
A
A
A

BANGKOK - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Agensi Promosi Ekonomi Digital (DEPA) untuk memperkukuh kerjasama ekonomi digital antara Malaysia dan Thailand.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya Prayuth Chan o-cha menghadiri majlis pertukaran MoU itu selepas mengadakan mesyuarat dua hala di Rumah Kerajaan di sini pada Khamis.

MDEC, agensi peneraju ekonomi digital di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), berkata MoU itu bakal menjadi batu loncatan kepada lebih banyak syarikat teknologi tempatan menembusi pasaran Thailand dengan sokongan serta strategi oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Melalui MoU ini, MDEC akan menjalin kerjasama dalam meningkatkan lagi usaha antara agensi serta syarikat teknologi tempatan bersama agensi pelaburan Thailand dan DEPA dalam meneroka peluang kerjasama perniagaan, menjana idea tuntas selain mempromosi produk buatan Malaysia.

Kenyataan MDEC memaklumkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, KKD menyambut baik MoU itu dan beliau berbesar hati dengan kerjasama strategik yang akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand.

"Kami di KKD menerusi MDEC, telah mengenal pasti peluang untuk mempromosikan syarikat-syarikat Malaysia melalui intervensi secara langsung dengan memberikan tumpuan menyeluruh di dalam usaha eksport dan sokongan ekosistem di Thailand.

"Syarikat-Syarikat tersebut berpotensi untuk pergi lebih jauh sebagai juara serantau demi melahirkan lebih banyak jenama Malaysia sebagai ‘unicorn’ dan sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab digital pilihan utama di Asia Tenggara,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Tan Sri Mahadhir Aziz pula berkata, Thailand merupakan antara negara tumpuan di bawah program Gateway, Amplify, Invest and Nurture (GAIN) yang diperkenal oleh perbadanan itu sejak 2018.

"Program ini memainkan peranan penting dalam memupuk jalinan kerjasama yang erat dengan ekosistem Thailand termasuklah rakan saluran perniagaan, agensi kerajaan, syarikat pelaburan modal teroka, persatuan perniagaan dan syarikat korporat.

"Setakat ini, MDEC telah berjaya memudah cara beberapa siri kejayaan kepada lebih 40 syarikat teknologi di Malaysia dan rakan kongsi di Thailand serta menghasilkan jumlah nilai peluang melebihi RM400 juta kepada ekonomi digital negara,” katanya.

Anwar turut menyaksikan pertukaran tiga lagi MoU antara syarikat utiliti negara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan anak syarikatnya iaitu TNB Renewables Sdn Bhd dan TNB Power Generation Sdn Bhd dengan agensi serta syarikat tenaga di Thailand iaitu Electricity Generating Authority of Thailand (EGAT), Planet Utility Co Ltd (Planet Utility) dan B.Grimm Power Public Co Ltd (B.Grimm) bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang tenaga. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!