Lebih RM30,000 dikumpul dalam masa kurang 48 jam
SHAH ALAM - Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare untuk Turkiye & Syria berjaya mengumpul lebih RM30,000 dalam masa kurang 48 jam selepas pelancarannya pada Rabu.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berterima kasih kepada keprihatinan rakyat Malaysia terhadap nasib mangsa gempa di Turkiye dan Syria.
“Pelancaran tabung ini adalah sebagai satu solidariti keprihatinan rakyat Malaysia atas bencana yang melanda kedua-dua negara tersebut. Alhamdulillah, lebih RM30,000 berjaya dikumpul dalam masa kurang 48 jam selepas Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare dilancarkan pada Rabu.
“Sokongan bukan sahaja dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan tetapi juga badan korporat dan individu,” katanya pada Khamis.
Sinar Karangkraf melancarkan Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare untuk membantu rakyat Turkiye dan Syria yang dilanda gempa bumi kuat Isnin lalu.
Inisiatif terbabit melibatkan kerjasama strategik Sinar Harian bersama Syria Care dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM250,000.
Menurut Nik Justin, kutipan bermula 8 hingga 28 Februari dan selepas itu bantuan akan dihantar secara berperingkat.
Hasil kutipan tabung itu menyasarkan empat kegunaan penting, termasuk bantuan penempatan sementara bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal serta bantuan makanan, ubat-ubatan dan peralatan musim sejuk seperti selimut, pakaian dan alat pemanas.
Tambah beliau, pihaknya kini sedang menyusun strategi untuk lebih memantapkan kempen tabung berkenaan agar bantuan dapat disalurkan segera secara berperingkat kepada mangsa gempa di kedua-dua negara terbabit.
“Objektif kita apabila sejumlah amaun yang dirasakan mencukupi dan sesuai berjaya dikumpul, kita akan salurkan secepat mungkin kepada mangsa secara berperingkat menerusi kerjasama dengan para petugas Syria Care yang berada di Turkiye dan Syria.
“Kita tidak mahu melengahkan penghantaran bantuan kepada mangsa,” katanya.
Rakan kerjasama, Syria Care menggerakkan bantuan kecemasan untuk mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria dengan mengumpulkan bantuan kewangan bagi membeli pelbagai keperluan mendesak termasuk peralatan musim sejuk.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, turut terkandung dalam bantuan kecemasan itu ialah makanan, ubat-ubatan dan bahan bakar.
Bagi yang mahu menyumbang, boleh salurkan melalui akaun 5642-7652-9068 (Maybank) atas nama Sinar Karangkraf atau hubungi menghubungi talian sekretariat di 019-2133315.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!