Alumni sumbang wang saku kepada pelajar susah

Ngah (kanan) pada majlis penerahan wang saku sumbangan qlumni SMK bukit Sawa.
Ngah (kanan) pada majlis penerahan wang saku sumbangan qlumni SMK bukit Sawa.
A
A
A

MARANG - Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa mengambil inisiatif memberi wang saku kepada pelajar sekolah tersebut yang tergolong dalam keluarga berpendapatan rendah (B40).

Pengerusinya, Ngah Bidin berkata, setiap pelajar yang dikenalpasti menerima bantuan sebanyak RM200 seorang bagi tempoh 10 bulan pada setiap tahun melalui program Wang Saku Alumni SMK Bukit Sawa (Asawasara).

Menurutnya, setakat ini seramai 40 pelajar susah sekolah tersebut sudah mendapat manfaat dari program kebajikan yang sudah dilaksanakan sejak tahun lepas.

"Tahun lalu, kita sudah beri wang saku sebanyak RM20 sebulan kepada 20 pelajar susah terpilih dan tahun ini, ia diteruskan lagi melibatkan 20 pelajar berbeza pula.

"Objektif utama program adalah sebagai keprihatinan alumni kepada pelajar B40 dikenalpasti oleh pihak sekolah yang sangat memerlukan wang saku untuk mereka berbelanja pada waktu rehat," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Ngah berkata, dana bantuan merupakan hasil sumbangan dari ahli persatuan alumni yang bermurah hati membantu pelajar kurang berkemampuan bagi membolehkankan mereka belajar dengan lebih baik.

Jelas beliau, persatuan alumni SMK Bukit Sawa yang mempunyai lebih 80 keahlian setakat ini sudah menyumbang sebanyak RM6,000 bagi tujuan kebajikan pelajar yang memerlukan.

"Kita harap bantuan ini dapat meringankan beban dan komitmen ditanggung oleh keluarga pelajar supaya mereka ada wang untuk beli makanan ketika rehat.

"Asawasara adalah program tahunan alumni, jadi besar harapan saya alumni dapat terus memberi sumbangan bagi memastikan kejayaan aktiviti kebajikan ini pada masa akan datang.

"Saya juga berterima kasih kepada alumni yang menyumbang dan pengetua serta warga sekolah kerana memberi kerjasama terbaik dalam menjayakan Asawasara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!