Peminat marah FIFA pindah aksi Piala Dunia Kelab ke Tangier
PERLAWANAN tempat ketiga Piala Dunia Kelab antara kelab Brazil, Flamengo menentang wakil Mesir, Al Ahly dari Mesir yang dijadualkan diadakan di Rabat sebelum perlawanan akhir pada Ahad telah dipindahkan ke Tangier, kata Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) pada Jumaat.
Negara tuan rumah Maghribi memutuskan untuk menukar tempat bagi mengekalkan padang di Stadium Putera Moulay Abdellah untuk perlawanan akhir antara Real Madrid dan Al Hilal.
Keputusan yang dibuat 48 jam sebelum perlawanan menimbulkan kekeliruan dan kemarahan para penyokong yang membuat perjalanan ke Maghribi sekali gus menyaksikan masalah logistik yang besar.
Kira-kira 15,000 para penyokong Brazil yang ke Maghribi, terpaksa menanggung kekecewaan melihat juara Amerika Selatan, Flamengo mengalami kekalahan 2-3 kepada juara Asia dari Arab Saudi, Al Hilal pada separuh akhir mesti memutuskan sama ada untuk kekal di Rabat untuk perlawanan akhir atau pergi ke Tangier untuk menonton pasukan mereka.
"Peminat yang telah membeli tiket berganda akan dimaklumkan tidak lama lagi.
“Pengaturan perjalanan khas akan dianjurkan oleh ONCF, pengendali kereta api kebangsaan Maghribi, membolehkan mereka yang ingin menyaksikan perlawanan tempat ketiga di Tangier dapat berbuat demikian.
"Pemegang tiket akan dapat menukar tiket semasa mereka dengan yang baharu untuk perlawanan tempat ketiga, atau mempunyai pilihan untuk memohon bayaran balik tiket sedia ada," kata FIFA dalam satu kenyataan.
Sementara itu, agensi pelancongan Brazil Outsider berkata, 10 peratus pelanggan mereka meminta untuk pulang ke tanah air selepas kekalahan separuh akhir.
"Keputusan FIFA menyebabkan para penyokong keliru.
"Anda tidak boleh mengubah lokasi kejohanan antarabangsa seperti ini, entah dari mana. Keputusan ini ternyata tidak menghormati para penyokong luar.
"Kebanyakan penerbangan yang ditempah oleh warga Brazil adalah pada pagi Sabtu dari Casablanca, yang hanya satu jam perjalanan dari Rabat. Tangier adalah perjalanan empat jam yang panjang. Itu bukan masa atau fleksibiliti untuk menukar tempahan hotel dan penerbangan. Sungguh gila," kata Tatiana Ribeiro, dari agensi pelancongan Ribeiro Viagens.
Untuk rekod perlawanan penentuan tempat ketiga sebelum ini dijadualkan berlangsung di Stadium Putera Moulay Abdellah pada Sabtu.
Sementara Ahad merupakan perlawanan akhir antara Real Madrid menentang Al-Hilal dijadualkan di Stadium Putera Moulay Abdellah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!