4 maut gempa bumi landa Jayapura
JAYAPURA - Gempa bumi berukuran 5.4 magnitud menggegarkan ibu kota Papua, Jayapura pada Khamis yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan memusnahkan 16 bangunan, menurut pegawai kerajaan.
Jakarta Globe melaporkan gempa itu diikuti beberapa gegaran susulan yang menyebabkan penduduk lari dan berada di luar rumah.
"Kami baru saja mengadakan mesyuarat dan memutuskan untuk mengenakan perintah darurat selama 21 hari bermula hari ini (Khamis)," Setiausaha Kerajaan Wilayah, Robby Kepas Awi kepada wartawan.
Semasa tempoh itu, kerajaan akan mengumpul data dan kesan daripada gempa bumi serta membina semula infrastruktur yang rosak.
Sekurang-kurangnya 500 orang meninggalkan rumah mereka manakala sebahagian lagi tinggal di pusat perlindungan sementara disediakan kerajaan.
Menurut Menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), gempa itu berlaku di Jayapura pada kedalaman 10 kilometer pada jam 3.28 petang (waktu tempatan).
Semasa gempa berlaku, sebuah hospital di bandar tersebut terpaksa memindahkan 300 pesakit ke kawasan lapang selepas bangunan didapati retak.
"Sekurang-kurangnya lapan bilik perkhidmatan mengalami kerosakan serius dan kami terpaksa memindahkan pesakit ke luar," kata Pengarah Hospital, Anton Motte. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!