Wang simpanan lebih RM200,000 lebur 'disedut' scammer

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Dua individu kerugian RM227,520 selepas terjerat dengan taktik sindiket penipuan kad kredit dan pelaburan tidak wujud, pada Khamis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kejadian pertama melibatkan seorang pesara sebuah syarikat swasta berusia 65 tahun yang menerima satu pesanan ringkas daripada suspek berhubung penggunaan kad kredit terhadap pembelian barang yang tidak dilakukan.

"Oleh kerana takut, mangsa menyerahkan semua maklumat perbankan termasuk nombor kod pengesahan transaksi miliknya kepada suspek.

"Pemeriksaan terhadap akaun miliknya mendapati wang simpanan RM140,520 lesap," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, dalam kes berasingan, seorang warga emas berusia 70 tahun kerugian RM87,000 selepas ditawarkan pelaburan melalui aplikasi WhatsApp.

"Tertarik dengan tawaran, mangsa terus membuat pelaburan melalui WhatsApp dan membuat transaksi sebanyak empat kali.

"Bagaimanapun, mangsa muka sedar dirinya ditipu setelah gagal mengeluarkan hasil keuntungan daripada akaun yang diberikan suspek," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!