Pemandu treler cuai, sebabkan wanita gugur didenda RM10,000
GERIK - Seorang pemandu treler didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan memandu tidak cermat sehingga menyebabkan seorang wanita hamil mengalami keguguran pada Oktober tahun lepas.
Majistret Savinder Singh turut memerintahkan Alias Awang, 49, dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan dan butir-butir sabitan itu juga diendors dalam mana-mana lesen memandu yang dipegang tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Alias didakwa memandu kenderaan itu di jalan raya tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya terhadap orang lain yang menggunakan jalan berkenaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 69 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini kira-kira pukul 10.50 pagi pada 29 Oktober.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan jika sabit kesalahan, selain butiran mengenai sabitan di bawah seksyen ini hendaklah diendorskan pada lesen memandu orang yang disabitkan itu.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Atiyah Shafiee dengan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Murni Che Mood.
Terdahulu, Nor Atiyah memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal ke atas Alias sebagai pengajaran, bagaimanapun Nur Murni memohon supaya denda dikurangkan kerana kenderaan itu dipandu tidak melebihi had laju selain pengakuan salah telah menjimatkan masa dan kos.
Nur Murni turut memberi alasan tertuduh telah bekerja selama 23 tahun dan ini ialah kesalahan pertamanya serta perlu menanggung empat anak berusia sembilan hingga 19 tahun manakala isterinya tidak bekerja.
Alias kemudian membayar denda berkenaan.
Mengikut fakta kes, muatan siling yang dibawa treler dipandu Alias dari arah Gerik ke Jeli itu terjatuh dan terkena empat kereta dari arah bertentangan lalu mengakibatkan seorang penumpang mengalami keguguran bayi di dalam kandungan yang berusia lapan bulan.
Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian tertuduh sendiri yang tidak memastikan muatan siling diikat dengan kemas yang menyebabkannya terjatuh dan terkena pada kenderaan lain. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!