Sindiket curi kenderaan lama tumpas
PETALING JAYA - Kegiatan sindiket curi kenderaan lama di sekitar daerah ini terbongkar susulan penahanan tiga lelaki di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, tangkapan pertama pada 3 Februari berjaya membawa penahanan dua lelaki berusia 27 dan 28 tahun di Hentian Duta, Kuala Lumpur, kira-kira jam 9.30 malam.
Menurutnya, soal siasat kemudian membawa tangkapan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun dipercayai dalang jenayah terbabit di Puchong, Selangor pada 4 Februari.
"Penahanan itu membawa rampasan sebuah kereta jenis Proton Wira dan van yang dilaporkan hilang.
"Modus operandi sindiket yang telah aktif sejak Disember tahun lalu ini adalah menyasarkan kenderaan model lama sebelum diserahkan kepada orang tengah untuk dileraikan dan dijual sebagai alat ganti," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Jumaat.
Beliau berkata, susulan tangkapan tiga lelaki terbabit, polis berjaya menyelesaikan empat kes curi kenderaan yang dilaporkan di daerah Petaling Jaya.
Katanya, reman suspek telah tamat pada 9 Februari dan akan diserahkan kepada IPD Shah Alam untuk siasatan di daerah itu.
"Polis kini masih giat mengesan seorang lagi suspek untuk membantu siasatan," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!