Penghantar alat ganti tak mengaku perdaya pinjaman tak wujud

Tertuduh (tengah) diiring pilis ketika dibawa ke mahkamah pada Jumaat atas pertuduhan memperdayakan seorang wanita dengan menawarkan pinjaman tidak wujud, akhir tahun lalu.
Tertuduh (tengah) diiring pilis ketika dibawa ke mahkamah pada Jumaat atas pertuduhan memperdayakan seorang wanita dengan menawarkan pinjaman tidak wujud, akhir tahun lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Penghantar alat ganti kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini pada Jumaat atas pertuduhan memperdayakan seorang wanita dengan menawarkan pinjaman tidak wujud, akhir tahun lalu.

Tertuduh, Jaminder Singh Dershan Singh, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam selepas kertas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menipu seorang wanita berusia 41 tahun bagi mendapatkan wang dengan menawarkan pinjaman tidak wujud dengan cara meminta mangsa membuat pembayaran sehingga 14 kali transaksi sebanyak RM4,500 ke dalam dua akaun bank berbeza milik tertuduh bagi mendapatkan pinjaman wang yang dijanjikan sebanyak RM1,000.

Wanita itu tidak akan membuat transaksi wang tersebut sekiranya tidak diperdaya oleh tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah hospital swasta di Jalan Haruan 2, Pusat Komersial Oakland di sini pada 29 Disember 2022.

Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman menawarkan wang jaminan sebanyak RM7,000.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), J.Daseneang yang mewakili tertuduh memohon jaminan paling minima memandangkan penjamin adalah abang tertuduh yang hanya bekerja sebagai kerani dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM3,500 dan kes akan disebut semula pada 13 Mac depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!