Kelonggaran ambil pekerja asing tangani untung melampau ejen
ISKANDAR PUTERI - Keuntungan melampau yang diperolehi ejen dari negara sumber tenaga kerja (pekerja asing), bakal ditangani hasil pelaksanan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang diumumkan Januari lalu.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha@Mohd Yunus Sakmud, kelonggaran diberi kerajaan iaitu kelulusan diberi dalam tempoh hanya tiga hari dijangka mampu menangani isu monopoli ejen-ejen terbabit.
Malah katanya, kelonggaran berkenaan juga bakal membantu mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengambilan pekerja yang memerlukan masa agak lama sebelum ini.
"Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang diumumkan pada Januari lalu itu dijangka akan mengurangkan monopoli ejen serta sindiket negara sumber yang mengenakan bayaran terlalu tinggi bagi mendapatkan pekerja asing.
"Bagaimanapun, pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) perlu membuat pemantauan selepas tempoh enam bulan bagi memastikan majikan patuh kepada syarat ditetapkan termasuk menyediakan penginapan pekerja," katanya.
Mustapha berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja ke kilang kanta lekap, Ciba Vision Sdn Bhd di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Shakib Ahmad Shakir dan Pengurus Besar Ciba Vision, Dr James Jeyadeva.
Untuk rekod, pelaksanaan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing diumumkan kerajaan Januari lalu bagi membenarkan majikan menggaji pekerja asing dari 15 negara sumber berdasarkan kepada kemampuan dan keperluan sebenar dimiliki tanpa perlu melalui pra-syarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, melalui pelan itu, majikan dari tujuh sektor kritikal yang memerlukan pekerja asing boleh membuat permohonan secara terus melalui ejen dengan jaminan kelulusan diberikan dalam tempoh kurang tiga hari.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata, kelulusan itu diberikan secara bersyarat iaitu akan ada proses naziran dan inspektoran dengan tindakan pemantauan dan pemeriksaan daripada agensi kawal selia berkaitan.
Sementara itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, JTK juga bakal melakukan pemeriksaan mengejut ke semua kilang terutama melibatkan tempat penginapan pekerja.
Katanya, pemeriksaan berkenaan dibuat bagi memastikan pekerja diberikan penginapan yang baik sekali gus menjamin keselamatan dan kebajikan mereka.
"Kami terima aduan daripada pekerja dan hasil intipan dibuat kami dapati, kebanyakan pekerja yang ditindas adalah pekerja asing, pekerja tempatan yang dianiaya biasanya akan membuat aduan ke JTK.
"Dalam operasi dilakukan JTK di Kluang baru-baru ini, kita sedih apabila mendapat maklumat pekerja sebuah kilang kayu di sana (Kluang), diletakkan dalam penginapan tidak sempurna iaitu bilik sempit dengan katil tanpa tilam dan kotor.
"Oleh itu, kita minta majikan supaya sentiasa pastikan keselamatan, kebajikan dan penginapan pekerja sentiasa terjaga jika tidak mahu dikenakan tindakan tegas kerana pihak JTK akan membuat serbuan dan operasi mengejut terhadap kilang-kilang dan majikan di seluruh negara bagi memastikan majikan tidak menganiaya pekerja mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!