NUBE gesa kerajaan pantau pelabur asing
SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menggesa kerajaan memantau pelabur asing di Malaysia agar mematuhi undang-undang dan dasar tempatan negara.
Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, ia supaya selaras dengan matlamat ekonomi dan rancangan pembangunan negara.
Menurutnya, perjanjian dua hala dengan negara pelabur asing perlu disemak semula bagi menghalang kekayaan Malaysia daripada disedut keluar sekaligus menjejaskan kedaulatan negara.
“Tindakan membawa keluar hasil jualan perniagaan perbankan pengguna Citibank baru-baru ini, selepas beroperasi selama 63 tahun, tanpa berkongsi dengan pihak-pihak berkepentingan, adalah contoh yang berbahaya.
“Ini menggambarkan Malaysia tidak mempunyai sistem yang betul untuk mencegah perbuatan menyedut keluar kekayaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Solomon, sebagai sebuah institut kewangan, adalah penting bagi Citibank untuk bertindak secara bertanggungjawab dan beretika dalam semua urusan kewangan kepada pelanggan, pekerja dan pemegang sahamnya.
Jelasnya, institut kewangan harus menyediakan peluang yang sama kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan mereka.
“Bank asing yang beroperasi di negara berbeza tidak seharusnya mendiskriminasi pekerja negara lain berdasarkan agama, bangsa atau jantina.
“Sebahagian daripada hasil syarikat secara moral harus diagihkan dalam kalangan pekerjanya secara adil dengan peluang dan pembayaran yang sama,” ujarnya.
Tambah beliau, adalah penting bagi majikan untuk menyampaikan rancangannya dengan jelas dan adil kepada pekerja untuk mendapatkan pemahaman dan sokongan.
Menurutnya, ia bagi memastikan pihak berkepentingan yang terlibat berada dalam halaman sama dan berusaha ke arah matlamat tersebut.
Justeru itu, gesanya, kerajaan perlu melindungi bahagian saksama hasil jualan perniagaan perbankan pengguna oleh Citibank untuk kekal berada di negara ini.
“Dengan melaksanakan langkah-langkah ini kerajaan Malaysia akan dilihat berusaha untuk menjamin bahawa pelaburan asing memberi manfaat kepada negara secara keseluruhan, termasuk pekerjanya dan bukannya hanya segelintir orang terpilih,” tambahnya.
Menurut Solomon, peranan kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang mampan perlu direalisasikan dan tidak hanya melalui ucapan serta dokumen sahaja.
Jelasnya, pelaburan asing tidak seharusnya semata-mata untuk kepentingan pelabur asing dan segelintir rakyat elit Malaysia sementara B40 dan M40 dikecualikan.
“Kami berharap kerajaan semasa meratifikasi kekurangan dan meletakkan ketidakseimbangan kepada situasi menang-menang untuk semua pihak berkepentingan.
“Jika tidak, kita akan terus melihat jurang yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin.
“Tren tidak sihat sebegini akan menyaksikan pengurangan dan penyusutan secara beransur- ansur kekayaan Malaysia yang akan menyaksikan rakyat miskin bergelut untuk terus hidup manakala golongan kaya pula berlepas ke negara kekayaan baharu mereka,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!