Situasi Covid-19 di China kian reda
BEIJING - Situasi Covid-19 di China semakin reda dan tiada peningkatan ketara dalam keupayaan varian virus dari segi kebolehjangkitan, patogen dan immune escape (antibodi di dalam badan tidak dapat mengenai virus), kata jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China (NHC), Mi Feng dalam sidang taklimat di sini, pada Khamis.
"Sesi pembelajaran baharu sekolah menengah dan sekolah rendah telah disambung semula manakala kegiatan penanaman musim bunga mula dilaksanakan di serata China," katanya.
Menurut Mi, semua pihak terlibat perlu bersungguh-sungguh mengawal penularan wabak, menyediakan perkhidmatan kesihatan yang baik kepada rakyat khususnya golongan warga emas, meningkatkan jaminan barangan di kawasan luar bandar dan melaksanakan pengurusan grid di komuniti perumahan.
Bagi individu berisiko tinggi pula katanya, mereka perlu diagnosis dan dirawat dengan segera.
"Kawalan wabak di tempat awam yang penting seperti pusat beli-belah, pasar raya dan pasar tani perlu dipertingkatkan.
"Langkah kawalan wabak di pusat penjagaan warga emas, pusat kebajikan kanak-kanak, tadika dan sekolah perlu diteruskan manakala penyeliaan kesihatan serta perlindungan terhadap individu berkaitan perlu terus dilaksanakan," tambah Mi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!