Budak lima tahun parah, tangan tersepit mesin santan
TELUK INTAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun cedera parah selepas tangan kanannya tersepit pada mesin memproses santan kelapa di Taman Seri Bahagia di sini pada Jumaat.
Difahamkan kejadian itu berlaku ketika bapa mangsa menjalankan kerja-kerja memproses santan kelapa di rumah mereka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 9.32 pagi.
"Operasi segera dijalankan dengan memotong bahagian sisi mesin memproses santan tersebut sehingga tangan kanan kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan.
"Pasukan mengambil masa kira-kira 35 minit untuk mengeluarkan tangan mangsa," katanya.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan dengan hampir putus tiga jari manakala ibu jari dan jari telunjuk parah.
"Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberi rawatan awal. Mangsa dalam keadaan stabil.
"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut dan operasi tamat pada jam 10.26 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!